Ketua Menteri, MB ucap selamat menyambut Tahun Baharu Cina

Iklan
Tahun Arnab kali ini diharap terus membawa kestabilan dan kemakmuran kepada negara. - Foto Bernama (Gambar kecil: Chow Kon Yeow)

KUALA LUMPUR - Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina esok, para pemimpin peringkat negeri berkongsi ucapan sempena perayaan itu dengan masing-masing berharap Tahun Arnab kali ini akan terus membawa kestabilan dan kemakmuran kepada negara.

Di PULAU PINANG, Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengalu-alukan kehadiran Tahun ‘Water Rabbit’ atau ‘Arnab Air’ dalam kitaran zodiak Cina dan berharap sifat semula jadi arnab iaitu kebijaksanaan, ketangkasan, kelincahan dan kepantasan menjadi pendorong rakyat untuk masa depan yang lebih baik.

Iklan
Iklan

Beliau juga berharap rakyat dan negeri itu dapat merealisasikan Visi Penang2030 ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Kon Yeow berkata selaras dengan usaha pemulihan ekonomi negara dan kestabilan politik, tahun ini dijangka menjadi tahun yang menarik kepada pelbagai sektor termasuk industri pelancongan, pelaburan, pembangunan modal insan dan pelaksanaan projek-projek mega yang sebelum ini tertangguh.

Iklan

"Umumnya, di Pulau Pinang, kita masih mengekalkan keharmonian dan prinsip demokrasi yang memberi kebebasan serta menjadi teras kepada keamanan negeri ini.

"Barisan kepimpinan kerajaan negeri akan terus berusaha bagi memastikan keamanan dan ketenteraman yang dikecapi selama ini terus kekal dipelihara,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina di sini pada Sabtu.

Iklan

Di MELAKA, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berharap Tahun Arnab kali ini akan memberi tuah dalam usaha kerajaan negeri meningkatkan dan memperkasa pembangunan ekonomi negeri terutama sektor pelancongan.

"Di kesempatan ini, saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Melaka yang memberikan sokongan terhadap usaha kerajaan ke arah mengekalkan perpaduan dan kerjasama rakyat.

"Raikanlah sambutan perayaan ini secara sederhana dan jaga kesihatan diri dan keluarga," katanya menerusi video yang dikongsikan menerusi akaun Facebook rasmi beliau.

Di PERAK, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan rakan-rakan pentadbiran kerajaan negeri turut menzahirkan ucapan selamat menyambut Tahun Baharu Cina dan berharap agar rakyat dan negeri dilimpahkan kebahagiaan dan kemakmuran.

"Setelah tiga tahun menyambut Tahun Baharu Cina dalam suasana suram akibat pandemik Covid-19, sambutan tahun ini pasti kembali meriah dan ceria.

"Semoga tahun baharu ini akan mengeratkan lagi semangat perpaduan sesama kita serta melimpahkan lebih banyak kemakmuran kepada rakyat dan negeri Perak," katanya menerusi perkongsian video di akaun Facebook rasminya.

Masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baharu Cina pada 22 dan 23 Januari ini.

Dalam kalendar Cina, terdapat 12 haiwan mewakili zodiak pada setiap tahun dan tahun ini merupakan giliran arnab. - Bernama