DUNGUN - Tidak timbul isu pencemaran di Tasik Puteri, Bukit Besi, kerana lokasi tersebut sememangnya tidak sesuai dan dilarang untuk aktiviti mandi-manda atau selaman.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Seri Ahmad Said berkata, tasik yang berkeluasan 131 hektar itu adalah bekas lombong bijih besi dengan kandungan sulfur yang tinggi.
Iklan
Iklan
Justeru, hanya aktiviti sukan seperti kayak atau berperahu dibenarkan di kawasan berkenaan walaupun airnya kelihatan sangat jernih dan bebas daripada pencemaran.
"Kita pun tak benarkan sebarang aktiviti mandi-manda atau selaman di situ. Kalau orang luar datang dan buat aktiviti selaman...atas risiko mereka sendirilah," katanya selepas mengagihkan sumbangan air minum kepada 500 penduduk Ketengah Jaya yang terjejas akibat terputus bekalan air.
Ahmad berkata, dakwaan bahawa pencemaran air tasik itu turut menjejaskan kualiti air terjun di kawasan berdekatan adalah tidak benar kerana kedua-duanya daripada punca atau sumber air yang berbeza.
Sebuah akhbar tempatan pada Sabtu melaporkan Tasik Bukit Besi yang dikenali sebagai Tasik Puteri didakwa tercemar dengan bahan asid apabila air daripada kolam tadahan di tapak perlombongan bijih besi mengalir memasuki tasik tersebut.
Ia didakwa bukan sahaja menjejaskan kualiti air terjun di kawasan berhampiran, malah menjejaskan sektor pelancongan kerana sudah tidak sesuai untuk aktiviti mandi-manda dan selaman. - Bernama