PENGURUS pasukan hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi berharap perkembangan positif yang dicipta skuad Speedy Tigers sepanjang aksi Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar, India dapat diterjemahkan kepada kemenangan pada peringkat seterusnya.
Beliau berkata, skuad negara yang meraih dua kemenangan aksi Kumpulan C, perlu menjadikan ia sebagai batu loncatan bagi mencipta satu lagi kemenangan ketika berdepan Sepanyol pada aksi penentuan ke suku akhir, esok.
"Daripada segi suasana saya lihat ia positif di kem hoki negara, jadi saya harapkan ia dapat dibawa semasa menentang Sepanyol nanti.
"Berdasarkan kekuatan fizikal dan mental juga saya yakin mereka telah bersedia untuk mengatasi pasukan itu," katanya menerusi video yang dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kepada media pada Sabtu.
Berkongsi perkembangan semasa skuad itu yang kini menghuni ranking kesembilan dunia, Mirnawan berkata, pemain telah berehat selama dua hari sebelum berdepan pasukan Sepanyol yang berada di ranking kelapan dunia.
"Jadi kita gunakan (tempoh rehat) sebaik mungkin untuk barisan pemain mendapatkan rehat serta kembali pulih sepenuhnya. Mereka juga dibenarkan keluar dari tempat penginapan untuk merehatkan minda serta emosi.
"Skuad Speedy Tigers dalam masa sama membuat latihan padang selain memberikan tumpuan kepada aspek taktikal yang akan digunakan ketika menentang Sepanyol," katanya.
Pada 19 Januari lepas, skuad kendalian A Arul Selvaraj menewaskan New Zealand 3-2 dalam aksi terakhir Kumpulan C.
Ia merupakan kemenangan kedua Malaysia dalam saingan itu selepas menewaskan Chile, 3-2 sekali gus menyaksikan skuad negara menamatkan saingan Kumpulan C di tempat kedua di belakang Belanda.
Secara keseluruhan, Malaysia pernah bertemu Sepanyol sebanyak 18 kali dengan skuad negara hanya melakar tiga kemenangan dan dua keputusan seri manakala selebihnya dimenangi pasukan lawan. - Bernama