KUALA LUMPUR - Usaha penambahbaikan akses internet mampu mencetuskan ‘lonjakan kuantum’ yang dapat memaksimumkan hasil ekonomi digital negara.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, usaha itu juga dapat membantu merapatkan kesenjangan sosioekonomi rakyat di bandar dan luar bandar.
"Penting untuk kita pastikan perkara asas akses kepada ekonomi digital ditambah baik, internet kena laju dan pakej internet juga perlu murah.
"Kita sedang pastikan perkara itu dan ada perkara perlu negotiate sikit lagi...sebelum itu prabayar dan selepas ini insya-ALLAH ada sesuatu untuk fixed line broadband pula,” katanya ketika menjadi tetamu pada program Bual Konti terbitan RTM yang disiarkan menerusi Facebook RTM malam ini.
Disember lepas Fahmi berkata, kerajaan akan memperkenalkan Pelan Data Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih pada harga dua kali ganda lebih murah iaitu RM5 sebulan dan tiga kali lebih pantas, yang akan berada di pasaran Februari ini.
Pengenalan pakej itu sejajar dengan hasrat Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengurangkan kos sara hidup serta memastikan kesalinghubungan digital yang menyeluruh kepada rakyat Malaysia.
Fahmi berkata, pengembangan ekonomi digital mampu mengembalikan Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi di rantau ini.
Selain itu, beliau berkata, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) juga dalam usaha melaksanakan penambahbaikan industri seni kreatif tempatan supaya negara bukan sahaja mampu melahirkan bakat yang berjaya di peringkat antarabangsa, malah menghasilkan karya seni seperti filem yang berkualiti dan bermutu tinggi.
Fahmi berkata, kejayaan pelakon kelahiran Ipoh, Perak yang menempa nama di Hollywood, Tan Sri Michelle Yeoh sehingga berjaya memenangi anugerah Golden Globe baru-baru ini, wajar dijadikan pembakar semangat untuk meningkatkan kualiti bakat dan hasil karya seni tempatan.
"Kita boleh ubah kedudukan Malaysia...bukan hanya sebagai pengeksport bakat... tetapi mahu eksport hasil karya seni untuk tatapan dunia,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, kementeriannya sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung agenda sukan negara serta peranan yang boleh dimainkan KKD. - Bernama