Diugut bunuh ketika terima panggilan kecemasan

Iklan
Pelbagai situasi yang ditempuhi Nor Azurah sepanjang bertugas sebagai penerima panggilan kecemasan di PKOD Klang.

KLANG -"Kalau awak tak datang, saya bunuh awak," itu antara detik cemas yang ditempuhi seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Selangor ketika bertugas di Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Klang bagi pengendalian talian kecemasan Khidmat Panggilan Kecemasan Malaysia (MERS) 999 Selangor.

Menceritakan mengenai kejadian pada tahun 2021 itu, Nor Azurah Daud, 47, berkata, individu tersebut membuat panggilan kecemasan berkaitan terdapat sarang tebuan di rumahnya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, individu tersebut kemungkinan dalam keadaan panik sehingga mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan terhadap dirinya.

"Individu tersebut dalam keadaan panik berdasarkan intonasi suaranya. Menerusi panggilan ketika itu, dia mengancam mahu membunuh saya sekiranya pasukan APM lewat tiba di rumahnya.

Iklan

"Saya terkejut kerana pemanggil mengeluarkan kata-kata sedemikian, bagaimanapun saya bertenang dan memberikan penjelasan serta meminta pemanggil supaya bertenang dengan situasi yang dialami," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Katanya, sebagai penerima panggilan kecemasan, menjadi tanggungjawabnya untuk menenangkan pemanggil.

Iklan

"Pelbagai kerenah yang dihadapi, pemanggil pula dalam keadaan pelbagai situasi jadi inilah antara peranan kami dalam proses kerja menerima segala butiran maklumat kecemasan, malah kami juga sebenarnya menjadi tempat luahan perasaan pemanggil yang ketakutan dan panik.

"Segala yang dialami oleh petugas dianggap cabaran kerana bukan semua boleh mengawal tekanan perasaan akibat dimarahi, dan kami tetap profesional dengan berbekalkan kesabaran," katanya.

Nor Azurah menerima penghargaan atas sumbangan khidmat baktinya dalam APM.

Menurutnya, berkhidmat sebagai penerima panggilan kecemasan memberikan ribuan pengalaman berhadapan dengan pelbagai ragam pemanggil.

"Segala luahan perasaan dan kemarahan pemanggil yang tertekan menjadikan situasi tersebut sebagai pembakar semangat untuk kami membantu dan berempati dengan nasib yang menimpa pemanggil.

"Jika bercerita tentang kenangan manis, ada juga pemanggil yang sanggup hubungi kami kembali dan mengucapkan terima kasih, malah ada yang sanggup memberikan kami hadiah dan datang ke pusat kawalan operasi serta pejabat kerana menghargai bantuan yang diberikan," katanya.

Nor Azurah sudah 17 tahun menjadi anggota APM sejak Mac 2006 sebelum bertugas sebagai penerima panggilan kecemasan.

Jelas Nor Azurah, dia turut pernah menjadi anggota pasukan penyelamat (petindak balas kecemasan) selama dua tahun dan terus menanam minat untuk kekal menyarung seragam APM sehingga sekarang.

"Saya juga antara tenaga pengajar dalaman terutama dalam bidang Basic Trauma and Life Support (BTLS) dan ia merupakan impian serta minat saya.

"Saya pernah berpengalaman menyambut kelahiran bayi di dalam ambulans sekitar tahun 2006 semasa dalam perjalanan membawa pesakit menuju ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang," katanya.