LAUTAN sastera sentiasa sahaja bergelombang.
Ombaknya memukul pantai dan menghakis kedudukannya sebagai sebuah ilmu yang pernah menduduki tempat pertama dalam dunia keilmuan dan falsafah.
Zaman Greek menyaksikan sastera berdiri di atas takhta paling tinggi, dihormati dan diistimewakan.
Kini sastera terumbang-ambing dibawa oleh gelombang dan ombak pembangunan.
Suara tidak senang dengan kedudukan sastera dalam sistem pendidikan negara sering sahaja dikemukakan.
Dikatakan, tidak ramai lagi para murid yang mengambil mata pelajaran kesusasteraan Melayu.
Justeru, bidang keilmuan sastera terus menerus mengalami pengikisan.
Tanpa disedari pengajian Melayu, yang pada suatu masa dahulu menjadi salah sebuah fakulti yang menjadi rebutan, telah hilang martabatnya dan kini menjadi sejarah.
Mengapa sistem pendidikan membenarkan mata pelajaran sastera dianaktirikan oleh aliran sains?
Perasaan dukacita itu sudah lama berkarat, dan membiarkan sastera jadi bahan cemuhan.
Disakiti pula dengan pandangan stereotaip, kurangnya peluang pekerjaan kepada para graduannya.
Lulusannya hanya menjadi guru, pensyarah dan pengarang.
Bidang sastera tidak menjanjikan pekerjaan.
Gejala ini berlarutan dan menjadi stigma, dogmatik sebagai sebuah fenomena naif dalam persepsi masyarakat.
Sekolah yang menawarkan sastera berkurangan. Kajian mendedahkan pada tahun 2002 sebanyak 40 buah sekolah yang menawarkan mata pelajaran sastera.
Pada tahun 2011, ia berkurang kepada 15 buah sekolah sahaja.
Elektif
Kesusasteraan Melayu terletak sebagai mata pelajaran elektif. Sebagai mata pelajaran pilihan, ia menjadi pilihan terakhir.
Dengan itu, pelajarnya tidak dalam kalangan yang cemerlang. Dengan kognitif dan taraf kemistri yang kurang, mata pelajaran itu menjadi rendah dalam pandangan masyarakat.
Justeru kepercayaan bahawa sastera tidak membawa pelajarnya ke mana-mana, selain berhadapan dengan karya penuh imaginasi, khayal dan menerawang. Masyarakat pertamanya ibu bapa masih dibeliti oleh kepercayaan warisan tradisi itu.
Untuk menghilangkan kekuasaan dikotomi antara sastera dan sains, sistem aliran dalam pendidikan dihapuskan.
Sebabnya, supaya tidak ada elemen diskriminasi antara dua aliran yang berbeza itu. Transformasi itu bagaimanapun tidak banyak memberi perubahan.
Mata pelajaran Sains kekal diletakkan sebagai wajib bersama Bahasa Melayu, Inggeris, Matematik dan Sejarah. Kedudukan ilmu sastera masih dalam posisi yang sama. Ia sebagai mata pelajaran pilihan.
Pelbagai usaha murni dilakukan untuk memulia dan mempragmatikkannya, dengan mengubah pengajarannya kepada Kesusasteraan Melayu Komunikatif.
Memiliki falsafah untuk melahirkan murid yang dapat memiliki ilmu pengetahuan tentang kesusasteraan; berkeperibadian mulia dan dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara; serta mampu memahami, menghayati dan menghargai karya sastera.
Pelajar dapat menguasai ilmu sastera, termasuk melakukan apresiasi dan kritikan. Juga berkemahiran dalam menghasilkan karya kreatif yang menepati ciri-ciri hakiki sastera.
Kesusasteraan Melayu Komunikatif juga mempunyai objektif untuk membentuk sahsiah diri yang terpuji, dengan mengenal pasti dan menilai elemen keagamaan serta keperibadian unggul yang terdapat dalam karya.
Menjadi ahli masyarakat yang prihatin dengan mengenal pasti dan menilai isu serta citra masyarakat yang terdapat dalam setiap teks. Menjadi warganegara yang memiliki sikap bertanggungjawab, dan cinta akan negara melalui elemen patriotisme dan kepimpinan yang terdapat dalam pengkaryaan.
Apakah implikasi dan kemajuan Kesusasteraan Melayu Komunikatif itu dalam pendidikan sastera? Semuanya akan diadili oleh masyarakat pada suatu masa yang akan datang.
Namun, kemerosotan murid sastera dan pelajar di pusat pengajian tinggi sastera, terus berlaku.
Memalukan
Di Malaysia, terdapat beberapa pusat pengajian sastera, seperti Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia, Jabatan Kesusasteraan Melayu Akademi Pengajian Melayu di Universiti Malaya dan Jabatan Kesusasteraan Melayu Fakulti Bahasa dan Komunikasi, di Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Hakikatnya pusat-pusat pengajian itu semakin melemah. Pengambilan pelajarnya berkurangan. Profesor Muhammad Haji Salleh dalam sebuah simposium sastera Melayu, mengakui bahawa pengajaran sastera dalam kedudukan yang mundur dan lemah.
Antara persoalan yang masih belum selesai ialah gerakan untuk merealisasikan Dasar Pendidikan Sastera Kebangsaan yang sudah dirumuskan dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971.
Banyak pertemuan dalam kalangan penguasa dan pemikir sastera, namun kewujudannya tersekat.
Sebuah lagi gerakan yang wajib dihidupkan ialah anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) yang mencadangkan dalam Sistem Pendidikan Negara, supaya mata pelajaran Sastera diangkat tarafnya menjadi mata pelajaran wajib.
Ia berdiri sama tinggi bersama dengan Bahasa Melayu, Inggeris, Pendidikan Islam/Moral, Sejarah, Matematik dan Sains.
Cadangan ini semakin bergema. Gerakan ke arahnya perlu dilakukan lebih sistematis dan menyeluruh.
Kementerian Pendidikan juga harus bersikap positif, dan harus bertindak secara proaktif.
Semua warga khalayak sastera, terutamanya yang elit, lebih-lebih lagi pihak sekolah dan universiti-universiti akan dipertanggungjawabkan.
Tentu sahaja Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri wajib mengambil inisiatif dan tindakan yang wajar bagi keilmuan sastera.
Adalah sangat memalukan dengan membiarkan mata pelajaran sastera di sekolah dan pembelajaran sastera di pusat pengajian tinggi, semakin lemah dan merosot.
* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia.