SAMBUTAN Tahun Baharu Cina kali ini lebih meriah selepas disambut dalam keadaan sederhana bagi tempoh tiga tahun sebelum ini susulan pandemik Covid-19.
Selain aktiviti makan besar bersama keluarga pada malam Sabtu, pastinya kemeriahan rumah terbuka menjadi antara acara yang dinanti-nantikan bukan sahaja buat masyarakat Cina, malah majoriti rakyat Malaysia.
Malah sebelum ini, beberapa kerajaan negeri seperti di Perak, Selangor sudah menyasarkan puluhan ribu penduduk hadir bagi memeriahkan sambutan rumah terbuka di kawasan masing-masing.
Antara yang menarik kali ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan ke rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.
Selepas dilantik menjadi Perdana Menteri, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu diundang sebagai salah seorang tetamu kehormat ke rumah terbuka tersebut setelah lebih dua dekad dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sejak September 1998.
Kehadiran beliau hari ini dijangka disambut oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Sementara itu, turut mencuri tumpuan netizen, kisah yang sedang tular di media sosial mengaitkan asal-usul sajian utama yang menjadi pelengkap sambutan Tahun Baharu Cina, 'yee sang' (salad campuran sayur-sayuran dan ikan) dengan keluarga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Menurut perkongsian di Twitter pada Sabtu, pengguna akaun dengan nama @adrianlimcheeen mendakwa, yee sang ialah makanan yang dicipta oleh Restoran Loke Ching Kee di Seremban sekitar tahun 1940-an.
Dakwanya, restoran itu diusahakan oleh individu bernama Loke Ching Kee, iaitu datuk kepada Anthony Loke.
Bagaimanapun, beliau ketika dihubungi Sinar Harian enggan mengulas lanjut berkenaan dakwaan tersebut.