KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Rumah Terbuka MCA sempena perayaan Tahun Baru Cina yang berlangsung di Wisma MCA, di sini pada Ahad.
Beliau tiba kira-kira jam 9.30 pagi dan turut disertai beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Turut hadir adalah Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Selain itu, majlis tersebut bermula pada jam 9.40 dengan tradisi tetamu menggaul ‘Yee Sang’(salad campuran sayur-sayuran dan ikan) secara serentak sebagai simbolik sambutan perayaan tersebut.
Kehadiran Anwar dan pimpinan PH ke majlis itu mencuri tumpuan ramai kerana 'seteru politik' itu kini duduk bersama sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan pada hari yang cukup bermakna khususnya bagi masyarakat Tionghua.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), PH dan Perikatan Nasional (PN) adalah dua blok parti politik yang mendapat jumlah kerusi Dewan Rakyat tertinggi, masing-masing 82 dan 73 kerusi, namun tidak cukup majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.
Kedua-dua blok parti itu memerlukan sokongan Ahli Parlimen mewakili gabungan parti lain, termasuk BN yang menang 30 kerusi bagi mendapat sokongan sekurang-kurangnya 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.
Pada 19 November lalu, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan PH memenangi 82 kerusi di Parlimen sedangkan jumlah yang diperolehi untuk mendapat majoriti mudah ialah 112.
Bagi mengatasi masalah tersebut, Kerajaan Perpaduan telah dicadangkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah setelah mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu.
Di bawah pengaturan itu, Anwar akan mengetuai Kerajaan Perpaduan dengan Barisan Nasional (BN) sebagai rakan utama PH, serta Parti Gabungan Sarawak (PGS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan.