'Suami, isteri jangan gaduh lama-lama'

Iklan
Syed Nathil menunjukkan gambar nya ketika waktu muda kepada Syarifah Maznah.

SEREMBAN - Buang ego, sabar dan jangan gaduh lama-lama menjadi amalan pasangan warga emas.

Syed Nathil Syed Jaafar, 78 dan Syarifah Maznah Syed Cik, 77, berkata, ia penting bagi memastikan hubungan yang terjalin selama 46 tahun terus berkekalan.

Iklan
Iklan

Meskipun ikatan perkahwinan yang dibina adalah atas pilihan keluarga, namun ia bukan alasan untuk mereka tidak berusaha mengecapi bahagia.

Syed Nathil berkata, walau marahnya dia dengan isteri atau berlaku apa-apa krisis di antara mereka, dia tidak akan membiarkan pergaduhan itu berlarutan berjam-jam.

Iklan

"Asam garam hidup berumah tangga, mana-mana suami isteri pun akan ada salah faham, tapi pentingnya bagaimana cara penyelesaiannya.

"Sebab itu kami tidak akan gaduh lama-lama dan sama-sama membuang ego. Kalau dibiarkan ia boleh jadi lebih besar dan berlarutan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Ampangan di sini pada Jumaat.

Iklan

Menurutnya, dia bersyukur kerana isterinya sangat berlapang dada dan tidak mudah merajuk terutama dalam soal mengingati tarikh-tarikh penting di antara mereka.

Tambahnya, sebagai suami dia sentiasa berusaha mengambil hati isteri dan paling penting memastikan urusan makan dan minum isterinya terjaga.

"Bila dah tua ini biasanya anak-anaklah yang meraikan hari-hari istimewa kami misalnya hari lahir dan ulang tahun perkahwinan.

"Bagi saya ia lebih kepada mahu menyemarakkan hubungan kekeluargaan. Yela, anak-anak pun dah besar semuanya," katanya yang mempunyai tiga anak dan tujuh cucu.

Sementara itu Syarifah Maznah pula berkata, dari awal perkahwinan sehingga sekarang dia tidak akan membiarkan suami makan seorang diri.

Baginya waktu di meja makan adalah waktu paling menyeronokkan untuk berbual pelbagai perkara terutama soal anak-anak.

"Kalau saya tak makan pun, saya akan duduk sebelah suami teman dia makan. Berbeza orang muda sekarang soal itu tak diambil kisah.

"Bagi saya apa yang penting, hidup suami isteri ini perlu banyak tolak ansur dan saya tidak akan gaduh lama-lama dengan suami," katanya.

Bercerita detik pertemuaannya dengan suami, Syarifah Maznah berkata, dia bersedia menerima suami selepas diperkenalkan keluarga kerana mahu memenuhi hasrat keluarga yang mahu lelaki keturunan Syed.

Ujarnya, kali pertama berjumpa dengan suami dia terus bersetuju untuk dijadikan teman hidupnya.

"Orang dulu-dulu ini tak kisah pilihan keluarga kerana soal kasih dan sayang boleh dipupuk selepas itu.

"Saya bersyukur walaupun suami adalah pilihan keluarga tapi kami mampu bertahan sehingga sekarang," katanya.