BEIJING - Kemungkinan berlaku gelombang jangkitan baharu Covid-19 di China dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang adalah rendah.
Ia susulan 80 peratus individu di negara itu telah dijangkiti.
Ini didedahkan Ketua Ahli Epidemiologi Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China, Wu Zunyou, menerusi satu kajian.
Beliau mendedahkan pergerakan besar-besaran rakyat sempena Tahun Baharu Cina meningkatkan risiko penularan.
Namun gelombang kedua Covid-19 tidak mungkin berlaku dalam masa terdekat.
Beratus-ratus juta rakyat China mengembara ke seluruh negara untuk meraikan perayaan Tahun Baharu Cina selepas sekatan dilonggarkan buat pertama kali dalam tempoh dua tahun.
Ini sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai peningkatkan kes Covid-19 di kawasan luar bandar.
Menurut seorang Pegawai Kesihatan Kebangsaan China, negara itu telah melepasi kemuncak Covid-19 bagi semua kategori pesakit.
Baru-baru ini, kerajaan China mengesahkan hampir 60,000 orang yang dijangkiti Covid-19 telah meninggal dunia di hospital setakat 12 Januari, kira-kira sebulan selepas China membatalkan dasar sifar Covid.
Tetapi sesetengah pakar mendakwa data tidak menggambarkan situasi sepenuhnya.
Ini kerana ia tidak termasuk angka mereka yang maut di rumah. - Awani.