RoS perlu telus siasat isu dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertanding

Iklan
Ahmad Zahid, Tok Mat - Foto Bernama
JOHOR BAHRU - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) perlu bebas dan menyiasat secara adil isu dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan yang usulnya diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa Pendidikan dan Mahasiswa Pemuda UMNO, Syed Mohd Syed Nasir meminta supaya siasatan telus dilakukan selepas dua ahli UMNO menghantar aduan kepada RoS supaya semakan dibuat terhadap usul berkenaan.

"Perkara ini akan menunjukkan bahawa RoS tidak berpihak kepada individu-individu yang mempunyai agenda tersembunyi untuk kekal berkuasa.

"Tindakan orang muda yang mahu menegakkan demokrasi dalam UMNO haruslah didokong bukan dihina serta disekat perkara murni begini

dilakukan dengan cara yang betul," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada Jumaat, dua ahli UMNO, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom menghantar aduan tersebut kepada jabatan berkenaan yang mendakwa usul itu adalah tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan UMNO.

Muhammad Aizat Fikri mendakwa, usul itu juga bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Persidangan Perhimpunan Agung Perwakilan Bahagian dan Persidangan Cawangan UMNO (Peraturan UMNO).

Mengulas lanjut, Syed Mohd berkata, tindakan dua ahli UMNO itu membuktikan keabsahan pandangan UMNO Johor, Naib Presiden UMNO, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkenaan Perlembagaan parti yang dilanggar secara terang-terangan.