SEPANG - Bas persiaran yang terbakar dalam kejadian di Plaza Tol UPM, Serdang di sini pada awal pagi Ahad dipercayai mengalami masalah klac sebelum berhenti sendiri.
Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan dijalankan berdasarkan keterangan yang diberikan pemandu bas tersebut.
"Ketika bas persiaran tersebut menghampiri plaza tol antara jarak 50 meter, pemandu bas dipercayai cuba menekan pedal klac namun pedal tersebut keras dan bas kemudiannya berhenti dengan sendiri.
"Dalam masa sama, salah seorang penumpang menjerit api dan apabila pemandu melihat menerusi cermin sisi, dilihat api sedang marak pada bahagian belakang bas," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 6.13 pagi itu, bas persiaran tersebut dalam perjalanan dari Skudai menuju ke Kuala Lumpur.
"Siasatan mendapati terdapat 44 orang penumpang terdiri daripada warga Singapura, Indonesia dan warga tempatan.
"Tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu, semua penumpang sempat menyelamatkan diri dan kerosakan melibatkan bas persiaran tersebut yang terbakar sepenuhnya selain kebakaran turut melibatkan bumbung Plaza Tol UPM," katanya.
Pada awal pagi Ahad, seramai 44 penumpang berdepan detik cemas selepas bas persiaran dinaiki mereka mengalami kebakaran di Plaza Tol UPM, Serdang.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.19 pagi, pada Ahad.