MELAKA - Seorang lelaki patah kaki manakala isteri dan anak lelakinya berusia enam tahun cedera ringan selepas dihempap pokok tumbang ketika berkunjung ke Zoo Melaka, di sini petang Ahad.
Ketika kejadian lebih kurang jam 2.40 petang itu, mangsa berusia 43 tahun dari Kajang, Selangor bersama isterinya berusia 40 tahun dan anak lelaki mereka berada di kawasan pameran kandang harimau.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tiga beranak terbabit sebelum itu menaiki kenderaan disediakan pihak zoo pada jam 2.05 petang.
"Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Sementara itu, Yang Dipertua Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman ketika dihubungi berkata, pihaknya telah mengambil tanggungjawab sewajarnya terhadap tiga beranak itu.
Menurutnya, MPHTj prihatin dengan nasib yang menimpa tiga beranak itu kos perubatan juga ditanggung pihaknya selain membantu menguruskan mereka pulang ke rumah di Kajang.
Katanya, kerja-kerja pembersihan juga dilakukan segera selepas kejadian itu dan pemantauan masih dilakukan.
"Mungkin disebabkan faktor hujan berpanjangan sejak jam 2 pagi menyebabkan kejadian itu berlaku dan kita terus memantau bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.