United belum sedia jadi juara

Iklan
Erik ten Hag - Foto Reuters

PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag menyifatkan kekalahan 2-3 kepada Arsenal sebagai bukti pemain mesti mengubah mentaliti untuk bersaing dalam kelompok pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menurutnya, pemain juga masih belum bersedia untuk memenangi kejuaraan utama sekiranya tidak mengubah mentaliti dalam setiap perlawanan.

Iklan
Iklan

"Mungkin dalam beberapa jam akan datang saya akan sedar kami berada dalam kedudukan yang baik, menyedari kami berada dalam perkembangan yang baik, proses yang baik. Tetapi pada masa ini, saya sangat marah.

"Jika pemain mahu memenangi trofi, kami perlu mengubah mentaliti. Tidak mungkin dalam perlawanan dengan pasukan teratas liga, pemain melakukan tiga kesilapan besar sehingga melepaskan gol.

Iklan

"Terutama gol terakhir, anda perlu berada dalam perlawanan itu. Pada ketika itu, keputusan seri sudah sepatutnya diraih. Pemain tidak boleh memberikan gol seperti yang berlaku hari ini," katanya.

Dalam perlawanan itu, penyerang United, Marcus Rashford membuka tirai jaringan pada minit ke-17 sebelum disamakan Eddie Nketiah pada minit ke-24.

Iklan

Nketiah menjadi wira The Gunners untuk memastikan tiga mata milik pasukan tuan rumah menerusi jaringan di penghujung perlawanan.

Ia kali kedua dalam minggu ini United melepaskan gol di minit akhir perlawanan selepas terikat seri 1-1 dengan Crystal Palace menerusi gol penyamaan lewat Michael Olise Khamis lalu.

Ten Hag menegaskan akan membimbing para pemainnya untuk cuba mengubah mentaliti namun tetap berbangga kerana pasukan telah berada dalam kelompok teratas liga.

"Saya fikir dengan bimbingan kita boleh mengubahnya. Kita telah melihat mentaliti telah berubah sejak beberapa bulan lalu.

"Tetapi kami juga perlu menyedari hari ini bahawa kami masih mempunyai kemampuan untuk berada dalam kelompok teratas liga," katanya.