KUANTAN - Keluarga kepada seorang mangsa sindiket pemerdagangan orang dan penipuan kerja di Myawaddy, Myanmar mengaku anaknya masih dalam tawanan kerana tidak mampu membayar wang tebusan sebanyak RM15,000 seperti diminta sindiket.
Ibu kepada mangsa yang mahu dikenali sebagai Mariam, 50, berkata, hanya mampu menangis menceritakan kisah anak keenam daripada 11 beradik, Adam Iskandar Tukiman, 20, yang gagal diselamatkan sehingga kini.
Menurutnya, kemiskinan hidup keluarga itu menyebabkan mereka sukar membebaskan Adam dan buntu memikirkan cara untuk mendapatkan sumber kewangan.
"Wang tebusan diminta terlalu banyak, kami tidak berduit dan tidak tahu cara untuk menebus Adam.
Sebelum itu, Mariam dan suami yang dikenali sebagai Tukiman, 60, dikunjungi Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang di kediaman mereka.
Kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum itu bagi mengetahui kisah lanjut mengenai Adam dan membantu membawa balik pemuda terbabit ke Malaysia.
Mariam yang turut mengalami masalah penglihatan memberitahu, suaminya hanya bekerja sebagai pemotong rumput selain mengambil upah mengemas kebun penduduk.
Tambahnya, perolehan pendapatan secara harian hanya mampu menampung kehidupan seharian mereka sekeluarga termasuk dua anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU)
"Kami memang tidak mampu menyimpan, duit hasil kerja suami hanya untuk membeli barang dapur," luahnya yang sedih kerana tidak dapat membantu anaknya itu.
Bercerita lanjut, Mariam berkata, Adam dikatakan menerima kerja dengan tawaran gaji lumayan di Myanmar pada September tahun lalu.
Menurutnya, pada ketika itu, Adam tidak mengetahui yang dirinya telah diperdayakan sindiket pemerdagangan manusia sehingga tiba di negara terbabit.
"Bila dah dapat tahu, dia (Adam) ada hubungi abangnya supaya membawanya pulang ke sini (Malaysia), tapi sindiket meminta tebusan sebanyak RM15,000.
"Masa itu, kami sudah bagi tahu Adam, tidak mampu dan bagaimana hendak bawa dia balik," ujarnya sambil menangis.
Sementara itu, Chon Siang berkata, usaha menyelamatkan akan diteruskan dan buat masa ini Adam masih berada dalam tahanan sindiket.
"Kita akan buat sehabis baik untuk selamatkan Adam dan mangsa lain," jelas beliau lagi.
Beliau meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Luar Negeri mengambil berat tentang isu pemerdagangan manusia dan penipuan kerja di negara itu.