ENAM pelumba menjadi taruhan pasukan berbasikal terbaik Asia, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) untuk berentap di Tour of Sharjah bermula Jumaat ini.
Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, kejohanan selama lima hari di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu, merupakan perlumbaan sulong pasukan berkenaan pada musim ini yang bertaraf 2.2.
Beliau berkata, pelumba yang terpilih membawa cabaran itu termasuk tiga import dan tiga tonggak tempatan, sedang menjalani kem latihan fasa satu TSG di dalam negara.
"Tonggak import pula dibarisi Metkel Ayob, Anatolii Budiak dan pelumba baharu TSG musim ini, Aiman Cahyadi yang juga pelumba terbaik Indonesia 2022,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Menurut Nasiruddin, pihaknya menyasarkan untuk meraih dua podium dan mempertahankan gelaran juara keseluruhan pasukan di Tour of Sharjah itu nanti.
Katanya, TSG perlu meraih seberapa banyak mata bermula daripada perlumbaan pertama agar sasaran muncul sebagai pasukan benua terbaik dunia 2023 menjadi kenyataan.
"Di Tour of Sharjah 2022 kita berjaya meraih juara keseluruhan dan menang satu podium menerusi Anatolii Budiak. Tahun ini kita harap pencapaian lebih baik dengan kekuatan skuad yang ada,” katanya.
TSG musim 2023 dibarisi 16 pelumba termasuk tujuh import dan sembilan tempatan di bawah bimbingan jurulatih kelahiran Kanada, Jeremy Hunt. - Bernama