PEMAIN sensasi, Erling Haaland menutup mulut pengkritik mengenai kemampuannya menyesuaikan diri dengan gaya permainan Manchester City apabila meledak hatrik keempat ketika membantu pasukannya menewaskan Wolves 3-0 pada Ahad.
Pemain Norway itu sudah menyumbat 25 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) daripada 19 penampilan pada musim pertama di Etihad.
Jurulatih City, Pep Guardiola turut memuji pemain berusia 22 tahun itu yang bijak mengawal emosi biarpun berada dalam situasi tertekan terutama melibatkan prestasinya.
"Angkanya (jumlah gol) amat menakjubkan. Dia amat stabil dan tidak tertekan apabila keadaan tidak berjalan lancar.
"Apabila tidak menjaringkan gol, dia dikatakan masalah buat kami,” katanya.
Guardiola memberitahu, barisan kejurulatihan tahu keupayaan serta kemampuannya di atas padang dan pasukan dalam proses mencari jalan terbaik untuk meningkatkan persefahaman dalam skuad.
"Kami tahu kualitinya. Dia bukan pemain untuk digugurkan. Anda perlu menyesuaikan beberapa pergerakan dengannya dan kami sedang melakukannya dengan baik,” katanya.
Haaland yang kurang menyengat sejak beberapa minggu lalu, membuka tirai jaringan buat City pada minit ke-40 untuk gol ke-23 peribadi.
Jumlah jaringan itu menobatkan Mohamed Salah serta Son Heun-min untuk berkongsi Kasut Emas musim lalu.
Memasuki babak kedua, Haaland menggandakan jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-50 dan menyempurnakan hatrik empat minit kemudian.