Gaduh selepas mabuk, lima lelaki warga asing ditahan

Iklan
Mohd Shuhaily menunjukkan cara mangsa ditusuk dengan pisau dalam pergaduhan pada 22 Januari lalu.

GEORGETOWN - Polis menahan lima lelaki warga asing selepas terlibat dalam dua kejadian pergaduhan di Sungai Nibong, Bayan Baru dan Taman Chai Leng Park, Perai pada 21 dan 22 Januari lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam kejadian pertama, seorang lelaki berusia 32 tahun selepas bergaduh dengan rakannya di sebuah rumah flat di Sungai Nibong.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek dan mangsa yang berusia 24 tahun bekerja sebagai tukang cuci di sebuah medan selera.

"Pada jam 10.23 malam, 21 Januari lalu, kita menerima aduan bahawa berlaku pergaduhan di sebuah rumah melibatkan dua lelaki warga asing. Pemeriksaan mendapati, mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian kening akibat dipukul oleh rakan serumahnya dengan botol kaca.

Iklan

"Susulan daripada itu, kita berjaya menahan suspek pada 12.50 tengah malam, 22 Januari lalu di Georgetown untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Mohd Shuhaily menambah, ujian saringan air kencing suspek mendapati negatif dadah.

Iklan

"Suspek ditahan sehingga 24 Januari untuk disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam pada itu, dalam kes berlainan, empat lelaki warga asing berusia lingkungan 23 hingga 27 tahun ditahan selepas bergaduh di sebuah rumah di Taman Chai Leng Park pada jam 3.25 pagi, 22 Januari lalu.

Mohd Shuhaily berkata, dua daripada mereka mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan akibat terkena objek tajam ketika pergaduhan tersebut manakala dua lagi tidak cedera.

"Siasatan mendapati, sebelum kejadian, kesemua suspek sedang minum arak bersama. Akibat mabuk, berlaku perselisihan faham antara mereka sehingga berlaku pergaduhan.

"Suspek yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil. Kita turut merampas sebilah pisau lipat sepanjang 15 sentimeter (cm) yang disyaki digunakan ketika kejadian," katanya.

Beliau berkata lagi, kesemua warga asing tersebut direman empat hari sehingga 25 Januari ini.

"Saya ingin menegaskan bahawa, kes seperti ini hanya melibatkan warga asing dan bukannya orang tempatan.

"Ia tidak memberi gambaran jenayah di negeri ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, sebanyak 717 kemalangan direkodkan sepanjang Op Selamat dilancarkan bermula 19 hingga 22 Januari.

Mohd Shuhaily berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 16 peratus dengan 117 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.

"Bagi kemalangan maut, ia menunjukkan penurunan dengan lima kes berbanding sembilan pada tahun lalu. Jumlah kematian juga menunjukkan penurunan bagi tahun ini iaitu lima berbanding sembilan pada tahun lalu.

"Sementara itu, sehingga 19 Januari lalu, sebanyak 1.5 juta kenderaan masuk ke Pulau Pinang telah direkodkan," katanya.