SELEPAS pulih daripada kecederaan kaki kanan, jaguh wushu negara Tan Cheong Min berazam untuk merebut slot ke Sukan SEA Kemboja 2023 buat julung kalinya yang akan berlangsung di Phnom Penh dari 5 hingga 17 Mei ini.
Pemenang emas Kejohanan Wushu Dunia 2017 dan 2019 itu memaklumkan beliau dalam persiapan mempertajam kemahiran untuk beraksi di temasya dwitahunan itu, selepas tiga acara wushu utamanya iaitu Nandao, Nanquan, Nangun tersenarai dalam pertandingan.
Cheong Min yang baru dibenarkan kembali memulakan latihan sepenuh masa tahun ini berkata, walaupun sudah beraksi hingga ke pentas dunia, adalah penting untuk beliau mempersembahkan aksi terbaik ketika sesi pemilihan untuk menambat hati barisan kejurulatihan supaya namanya tersenarai ke Kemboja.
"Saya alami kecederaan kaki kanan pada 31 Ogos tahun lepas kerana salah cara mendarat pada sesi latihan namun sekarang ini sudah pulih hingga 90 peratus.
"Saya rasa jurulatih hanya akan membuat pemilihan dalam seminggu lagi namun besar harapan saya untuk beraksi di Sukan SEA pertama kalinya," katanya di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menyifatkan berada dalam keadaan terbaiknya, pemenang Olahragawati Kebangsaan Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2022 itu optimis mampu membuat penampilan terbaiknya menerusi Nandao, Nanquan dan Nangun sekali gus tidak sabar untuk memberikan saingan sengit kepada pihak lawan.
Cheong Min, 25, mencipta sejarah apabila menjadi atlet wushu wanita pertama dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan apabila mengharumkan nama Malaysia menerusi sumbangan pingat emas acara Nandao dan pingat perak (Nanquan) pada Kejohanan Wushu Dunia 2019 di Shanghai, China.
Pada Mei tahun lepas, skuad wushu negara menutup cabaran di Sukan SEA Hanoi, Vietnam dengan meraih keseluruhan dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa. - Bernama