HULU TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Sepasang pengantin dan tetamu yang hadir cemas apabila jurunikah yang mengendalikan majlis akad nikah tiba-tiba pengsan dan terpaksa dikejarkan ke klinik dalam kejadian pada Ahad.
Difahamkan, jurunikah berusia lingkungan 78 tahun itu tiba-tiba terbaring dan pengsan sewaktu menyampaikan khutbah nikah dalam majlis yang dihadiri kira-kira 80 tetamu di Surau Darul Taqwa, Perumahan Kuala Telemong, di sini.
Keluarga pengantin perempuan, Aidie Amin Yatim berkata, insiden itu berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika majlis pernikahan adik iparnya, Nurul Nadia Atiqah Abd Rahman, 26, dan pasangan Muhammad Khairul Nizam Md Zaid, 26.
"Kejadian itu berlaku secara tiba-tiba menyebabkan semua yang hadir cemas dan majlis yang berlangsung tergendala hampir setengah jam kerana kami terpaksa mencari jurunikah baharu bagi menggantikan tempat jurunikah tersebut.
"Mujurlah majlis akad nikah dapat diteruskan selepas menemui seorang lagi jurunikah yang kebetulan sedang sarapan di sebuah kedai makan bagi menggantikan jurunikah yang terpaksa dikejarkan ke klinik," katanya kepada Sinar Harian, pada Isnin.
Menurut Aidie, jurunikah berkenaan telah sedar daripada pengsan dan berada dalam keadaan stabil.
"Jurunikah yang dikenali dengan gelaran Ayoh Ngoh Suf adalah orang lama yang telah menikahkan ramai pasangan. Uniknya setiap kali menyampaikan khutbah nikah dia bukan hanya sekadar membaca melalui teks.
"Penyampaian khutbah nikah agak berbeza kerana dia seolah-olah menyampaikan ceramah bagi memastikan kandungan khutbah dihayati oleh pasangan pengantin termasuk tetamu yang hadir," ujarnya.
Sementara itu, pasangan pengantin tersebut bersyukur kerana majlis akad nikah dan jamuan perkahwinan yang dijadualkan pada Ahad telah selesai dan berjalan lancar.
Katanya, pengalaman itu sudah tentu menjadi detik yang tidak dapat dilupakan buat mereka berdua.
Majlis perkahwinan pasangan pengantin itu diraikan di kediaman keluarga pengantin perempuan di Perumahan Kuala Telemong dengan dihadiri kira-kira 1,200 tetamu termasuk keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.