SHAH ALAM - Jualan Gudang Karangkraf 2023 kini kembali dengan menawarkan pelbagai jenis bahan bacaan pada diskaun sehingga 80 peratus.
Jualan gudang itu akan berlangsung pada 27 Januari hingga 6 Februari ini bermula jam 9 pagi hingga 7 petang di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam.
Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, jualan gudang pada tahun ini juga menampilkan banyak kelainan berbanding penganjuran sebelum ini.
"Pengunjung bertuah juga boleh memenangi lebih dari RM1,000 hadiah-hadiah menarik dengan menyertai peraduan 'Beli & Menang' di jualan gudang tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Tambah beliau, antara program menarik diadakan sepanjang jualan gudang itu adalah temu mesra bersama penulis, pertandingan mewarna Kids Prima, pelancaran Podcast Buku Karangkraf dan Permainan Cari dan Menang.
"Kita akan bawakan penulis buku terkenal untuk bersama-sama memeriahkan program itu selain pengunjung berpeluang beramah mesra dengan mereka," ujarnya.
Dalam pada itu, Firdaus berkata, tawaran menarik kepada pengunjung adalah diskaun bermula dari 15 peratus hingga 80 peratus mengikut jenis buku, novel dan al-Quran terutama ahli VIP di mana mereka akan mendapat diskaun istimewa bagi setiap pembelian di jualan gudang berkenaan.
"Sudah tentu buku-buku baharu dijual sempena jualan gudang ini dengan pelbagai genre seperti novel seram dan cinta yang dijual dengan harga murah dan berpatutan," ujarnya.
Ujar beliau, kemudahan selesa disediakan kepada pengunjung yang hadir bersama keluarga atau rakan-rakan.
"Selain ruang parkir kereta, terdapat surau, tandas yang bersih dan selesa, ruang legar berhawa dingin dan tempat makan juga disediakan bagi memudahkan pengunjung," jelasnya.