'Pengalaman lalu, kegagalan rumah tangga mematangkan diri'

Iklan
Sarimah

SHAH ALAM - 'Dalam satu situasi kita tak nampak silap kita, mata kita hanya pandang ke hadapan' kata selebriti Che Puan Sarimah Ibrahim.

Beliau berkata, pengalaman masa lalu termasuk kegagalan rumah tangga banyak mematangkan dirinya untuk menjadi lebih baik.

Iklan
Iklan

"Pada suatu masa kita hanya nampak kesilapan orang lain. Susah untuk kita perbetulkan diri, kecuali bila masa itu sudah berlalu.

"Saya pada waktu itu terlalu muda, hanya fokus kepada kerjaya... nak buktikan bahawa semua saya boleh buat, saya diterima oleh masyarakat.

Iklan

"Saya mampu buat orang gembira tetapi di dalam hati itu sebenarnya mungkin saya tahu pada masa itu suami saya itu tak 'ngam' dengan saya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program MUM 'Maruah Seorang Wanita' yang dihoskan oleh Hazlin Hussain yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Wanita kacukan Ireland itu mengakui kegagalan rumah tangga pertamanya turut berpunca daripada sikap masing-masing yang suka memendam rasa.

"Tetapi kita menyimpan dan mencuba. Tapi naluri seorang wanita itu sangat kuat tetapi selalunya kita diamkan... kau telan aje la kan.

"Bila telan tu lama-lama baru tahu keserasian itu tiada. Saya suka tempat kerja dari balik rumah.

"Tapi masing-masing tak nak mengaku. Lama-kelamaan jadi situasi saya pun kena fikir tentang maruah saya, dia pun ada maruah dia, kita nak bohong sampai bila?" luah Sarimah.

Program MUM bertajuk ‘Maruah seorang wanita’ menampilkan Sarimah (kanan) bersama Hazlin sebagai pengacara yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Isnin.

Sarimah berkata, rupa-rupanya barulah sedar mereka hanya serasi untuk berkawan.

"Adakah itu kegagalan atau itu satu pelajaran kerana pengalaman itu ada pahit dan manis.

"Maruah itu terletak pada diri kita. Kita sendiri yang akan meletakkan maruah kita ke tahap mana.

"Kita jangan bagi maruah kita orang lain yang menilai macam kau ni bagus, kau ni orang baik, saya suka tengok awak, jangan," tegasnya.

Menyentuh pengalaman menghadapi kemurungan selepas melahirkan anak sulung, Tunku Sofia Najihah, 4, Sarimah berkata, itu adalah antara cabaran yang perlu dilalui dan bersyukur kerana sudah sembuh selepas menjalani rawatan pakar selama enam bulan.

"Suami, (Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar) juga mengalami tekanan dan dari situ saya memahami masalah kesihatan mental dari segi perspektif lain, memang perit masa itu," katanya.

Sarimah berkata, sebelum itu juga dia sering berjumpa pakar psikologi namun tidak menyangka masih boleh terkena kemurungan.

"Saya jumpa pakar psikologi untuk pastikan hidup saya tersusun dan saya sendiri tak nak kena kemurungan tetapi itulah hakikat yang berlaku dan perlunya untuk kita menjaga kesihatan mental," katanya.

Jelasnya lagi, dia memang sering jumpa pakar psikologi bagi memastikan hidupnya tersusun dan menggelakkan terkena kemurungan, namun sebaliknya masih terkena dengan penyakit tersebut.