BAGAN DATUK - Pembinaan jambatan menghubungkan Bagan Datuk dan Sejagop di daerah Perak Tengah yang tertangguh hampir dua tahun dijangka siap sebelum Aidilfitri ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek sepanjang 10.5 kilometer dengan nilai kira-kira RM406 juta yang mula dibina pada akhir 2016 itu sepatutnya siap pada Oktober 2020 lepas.
Bagaimanapun menurutnya, berlaku kelewatan atas beberapa faktor terutamanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kenaikan kos bahan binaan selain masalah pekerja di tapak pembinaan.
"Ini adalah projek ikonik untuk Perak dan siapnya jambatan ini bukan sahaja untuk penduduk Parlimen Pasir Salak dan Bagan Datuk tetapi penduduk Manjung dan seluruh Perak untuk ke Kuala Lumpur," katanya selepas melakukan lawatan ke tapak pembinaan projek jambatan itu di sini pada Isnin.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, selain dapat memendekkan masa perjalanan untuk ke Kuala Lumpur, pembinaan jambatan itu juga akan memberi kesan jangka panjang bagi pembangunan kawasan sekitar apabila dapat menarik pelabur dari dalam dan luar negara.
Katanya, buat masa ini pihaknya sudah pun mengadakan beberapa perbincangan untuk membina beberapa kilang yang dapat menyediakan sekurang-kurangnya 4,000 ke 10,000 peluang pekerjaan baharu sehingga tahun 2030.
"Ini secara tidak langsung menggalakkan pembangunan premis komersial, perumahan dan yang lain berpunca daripada kuasa beli yang ada pada pekerja-pekerja tersebut," katanya.