KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Seorang remaja yang dilaporkan hilang di Pantai Batu Layar, Bayu Damai di sini pada Ahad ditemukan lemas pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, mangsa ditemui terapung di dalam air menghala ke pantai sekitar jam 5.20 petang pada Isnin oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Katanya, ketika ditemui mangsa telah meninggal dunia disyaki akibat lemas.
"Mayat mangsa telah dicamkan oleh ibu bapanya sebelum dibawa ke Hospital Kota Tinggi bagi tujuan bedah siasat," katanya pada Isnin.
Ahad lalu seorang remaja, Mohammad Imran Mohd Nazir, 17, ditemui lemas manakala rakannya, Hani Suefyan Hanizam, 16, hilang di pantai berkenaan.
Susulan insiden berkenaan gerakan SAR kedua-dua mangsa turut melibatkan pihak polis, bomba, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Bagaimanapun, SAR dihentikan buat sementara pada 7.30 malam Ahad berikutan cuaca gelap selain ombak yang dijangka bergelora akibat angin kencang pada sebelah malam dan pagi.
SAR diteruskan pada mulai 8 pagi Isnin pagi menggunakan kaedah surface searching dan Fan Searching.
Sementara itu, Hussin berkata, SAR telah ditutup secara rasmi pada jam 6 petang setelah mangsa ditemui semula.
"Polis Kota Tinggi menasihati orang awam yang hadir ke lokasi-lokasi pantai riadah khususnya di daerah Kota Tinggi pada musim Monsun Timur Laut agar lebih peka dan berhati-hati.
"Selain itu, orang awam juga perlu sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku lagi pada masa hadapan," katanya.