KUALA LUMPUR – Kejatuhan nilai Ringgit Malaysia (RM) belum mencecah paras membimbangkan dan masalah tersebut akan dipulihkan dengan bantuan strategi daripada Bank Negara Malaysia (BNM).
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking berkata, bantuan strategi BNM itu nanti pasti dapat memulihkan masalah ketidakstabilan mata wang negara.
"Naik turun RM yang negara kita hadapi akhir-akhir ini, bukanlah sesuatu yang membimbangkan, kerana banyak lagi negara lain juga mengalami masalah ketidakstabilan mata wang.
"Saya rasa BNM ada strategi tersendiri untuk membantu memulihkan nilai ringgit kita,” katanya ketika sidang media di kementeriannya hari ini.
Pada 10 April lalu, ringgit merosot sehingga 0.32 peratus ke paras terendah dalam tempoh lebih dua bulan berbanding dolar AS, susulan sentimen berhati-hati di seluruh Asia apabila Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak turun unjuran pertumbuhan dunia.
Pada 6 petang, ringgit ditutup pada RM4.1050/1100 berbanding dolar AS daripada RM4.0920/0960 pada penutupan semalam.
Ini merupakan prestasi paling lemah bagi unit tempatan sejak 30 Januari 2019, apabila ditutup pada RM4.1050/1100 berbanding dolar.
Dalam pada itu, Darell turut memuji langkah bijak pemain industri di Malaysia ketika berdepan situasi import jatuh di mana mereka cenderung mencari produk keluaran tempatan terutamanya produk barangan elektrik dan bahan kimia yang dieksport ke serata dunia.
"Barangan yang dieksport ini akan menjadi sumber untuk barang gantian yang mereka gunakan untuk mengimport. Jadi apabila import merosot, pemain-pemain industri akan memanfaatkan sumber daripada produk keluaran tempatan,” katanya.
Darell menjelaskan kemerosotan import pada Februari adalah disebabkan sambutan Tahun Baharu Cina pada Februari memandangkan pengimport telah melakukan tempahan lebih awal.
Bahkan beliau yakin pada Jun akan datang trend ini akan kembali dan mungkin berlaku peningkatan.