TUMPAT - Niat pasangan suami isteri berniaga sambil bersedekah dengan mengubah tradisi menjual raja buah daripada timbang kepada RM10 sebakul membuahkan hasil apabila tujuh tan durian laris hanya dalam tempoh sejam di Semat Jal di sini.
Shahmiazani Mohd Tanazi, 30, dan isterinya, Shaidatul Fatini Shamsudin, 30, mula menggunakan kaedah itu pada awal bulan lalu sekali gus dapat mengurangkan kesesakan orang ramai yang datang menyerbu untuk membeli durian mereka.
"Kami lelong durian jenis kampung sebakul RM10 atau empat hingga lima biji setiap bakul yang berwarna biru bermula pada jam 10 pagi.
"Bagaimanapun, pelanggan sudah beratur lebih awal pada jam 8 pagi sejauh lebih 200 meter namun urusan jual beli menjadi lebih lancar apabila menggunakan bakul berbanding ditimbang,” katanya ketika ditemui di gerai buah-buahannya di sini pada Isnin.
Menurut bapa seorang anak itu, selain durian jenis kampung, terdapat juga durian lain seperti jenis kahwin yang jual RM25 sebakul manakala RM40 dan RM50 adalah bagi durian bergred seperti Musang King, D24/XO, Udang Merah, IOI dan Tekka.
"Bagi durian yang berharga RM25, kami menggunakan bakul berbeza iaitu berwarna kelabu.
"Hasrat kami bertujuan berkongsi rezeki dengan semua orang dan bukan sahaja penduduk tempatan bahkan ada dari Gua Musang serta Terengganu yang datang untuk membeli durian kami,” katanya.
Dia yang berpengalaman 15 tahun berniaga durian itu berkata turut pernah melelong durian seplastik RM10 bagi membantu masyarakat menikmati durian pada musim Covid-19 melanda negara pada tahun 2021.
"Harga durian lebih murah ketika ini kerana faktor musim perayaan selain mendapat mendapat permintaan yang tinggi.
"Harga durian menurun itu termasuk bagi Musang King sekitar RM22 sekilogram berbanding RM35 sekilogram sebelum ini,” ujarnya.