Kuda dibiar berkeliaran, pemilik digesa dikenakan tindakan

Iklan
Persatuan Haiwan Malaysia berkongsi keadaan tiga ekor kuda yang dilihat berkeliaran di jalan raya.

AMPANG - Tiga ekor kuda dengan seekor daripadanya dalam keadaan lemah dikesan berkeliaran di jalan raya menghala Bukit Ampang di sini.

Menerusi kemas kini di Facebook Persatuan Haiwan Malaysia, kesemua haiwan tersebut dipercayai bertuan, namun tiada pihak tampil mengaku sebagai pemilik.

Iklan
Iklan

"Seekor daripadanya kelihatan lemah dan tidak mampu bangun (terbaring di pembahagi jalan).

"Warga sekitar taman perumahan ini diminta membantu Lembaga Kebajikan Haiwan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya mengesan pemilik untuk tujuan penguatkuasaan undang-undang kerana membiarkan kuda peliharaan terabai dan tidak berkebajikan," katanya menerusi perkongsian pada Isnin.

Iklan

Sementara itu, menerusi perkongsian tersebut, orang awam tampil memaklumkan haiwan tersebut kini telah diselamatkan dan berada di bawah jagaan unit berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kuda sudah selamat dalam jagaan pasukan berkuda PDRM. Doakan yang baik-baik," kata pengguna akaun Facebook, Suzila Hashim.

Iklan

Ada juga antara orang awam mendakwa pemilik kuda tersebut telah tampil menuntut haiwan tersebut, namun tidak dibenarkan berikutan haiwan tersebut perlu diberi rawatan kerana terdapat kesan luka serta dalam keadaan tidak terurus.

Seorang pengguna media sosial, Naza Majid pula meminta tindakan dikenakan ke atas pemilik kuda berkenaan kerana mengabaikan penjagaan haiwan itu.

"Pemilik tak nak bertanggungjawab, rampas saja haiwan itu dan dan buka untuk adoption.

"Pihak berkuasa tempatan suka benar melengahkan kerja. Kalau sudah rampas dan pemiliknya baru terhegeh-hegeh hendak mengaku maka saman dia. Saman betul-betul bukan takat celah gigi saja," katanya.