BUKIT MERTAJAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sememangnya menumpukan usaha mencari penyelesaian bagi menurunkan harga bahan mentah.
Beliau berkata, ia termasuk memastikan pengeluaran mencukupi serta memberi dukungan kepada pengeluar domestik bagi produk telur, ayam dan sayuran.
Anwar mengulas mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyeru kerajaan mencari jalan penyelesaian untuk menurunkan harga bahan mentah.
"Tidak apa kita dengarlah pandangan dia (Ismail Sabri). Saya pun mampu banding sebulan setengah menteri berkenaan yang bekerja, itu kalau saya bandingkan, saya boleh akui yang dilakukan sekarang lebih bersungguh-sungguh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kenduri Rakyat di kampung halamannya di Cherok Tok Kun di sini pada malam Isnin.
Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, Anwar berkata, dalam masa singkat sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri, kehadiran pelabur antarabangsa dari Eropah, China dan Amerika Syarikat di Malaysia jauh lebih memberangsangkan dari tahun-tahun sebelum ini.
"Alhamdulillah dengan keyakinan ini, ringgit telah mengukuh. Kalau mata wang kita jatuh, ini akan menyebabkan kos import tinggi dan meningkatkan harga barang. Apabila harga barang naik termasuk harga makanan, ini akan membebankan rakyat," katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula pada 24 Februari ini akan menyentuh sektor pendigitalan dan pertanian moden dalam usaha memastikan ekonomi negara kekal mampan.
Anwar berkata, beliau juga akan mempertimbangkan peruntukan yang lebih tinggi untuk Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang disifatkan kurang mendapat perhatian sebelum ini.
"Itu dalam pertimbangan saya, biarpun ada kekangan dari segi pendapatan dan perbelanjaan tetapi kita akan beri perhatian kerana ada kebenarannya Pulau Pinang dipinggirkan dari sudut peruntukan...tetapi sama juga seperti bila saya ke Sabah dan Sarawak.
Memang ada kekurangan besar kerana peruntukan untuk Pulau Pinang itu kepada infrastruktur besar tetapi Sabah dan Sarawak termasuk prasarana kecil, klinik, hospital, perumahan rakyat dan sekolah daif," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Anwar mengumumkan bahawa Bajet 2023 tidak akan terikat dengan belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan terdahulu iaitu pada Oktober 2022, namun cadangan yang sudah dibuat dalam pelan belanjawan terdahulu akan tetap diambil kira dalam perangkaan bajet yang baharu ini. - Bernama