JEMPOL - Seorang warga emas terkejut apabila mendapati seorang lelaki tidak dikenali yang terbaring di ruang tengah rumahnya di Taman Tanjung, Bahau di sini, pagi semalam rupanya pencuri yang tidak sempat melarikan barang curi kerana terlelap akibat mabuk.
Malah Sin Kong Men, 66, pada awalnya menyangka lelaki itu adalah rakan salah seorang anaknya yang tumpang bermalam, namun anak-anaknya menafikan.
"Ketika saya bangun tidur lebih kurang jam 6 pagi saya dapati seorang lelaki terbaring atas lantai rumah dan sebelahnya ada sebuah beg kertas yang mengandungi dua bilah pisau, pemutar skru, dua botol minuman keras serta sebuah tablet jenama Samsung.
"Saya periksa barang-barang itu adalah kepunyaan saya. Saya syak dia tertidur selepas minum minuman keras yang disimpan dekat kabinet almari berkaca di rumah ini," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya pada Selasa.
Ujarnya, terdapat juga seekor anjing berwarna hitam dipercayai milik lelaki berkenaan yang dilihat cuba mengejutkannya tetapi gagal.
"Kami semua cuba kejutkannya tetapi tidak bangun juga. Tidak lama kemudian polis datang dan sekali lagi mengejutkannya sebelum dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut," katanya yang memaklumkan telah membuat laporan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada Isnin.
Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati suspek telah masuk ke dalam kawasan rumah dengan memanjat pagar tepi rumah dan masuk melalui pintu belakang rumah yang tidak berkunci.
"Semasa masuk ke dalam rumah suspek dipercayai telah minum minuman keras milik pengadu sehingga mabuk dan tertidur. Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.
"Jumlah kerugian lebih kurang RM1,000. Suspek berusia 41 tahun telah ditangkap untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
"Hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek mempunyai 15 rekod lampau berkaitan dadah, enam rekod jenayah termasuk merupakan orang dikehendaki polis," katanya.
Katanya, suspek seterusnya direman selama empat hari bermula Selasa.