SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut membantu rakyat negeri ini yang bukan kategori asnaf untuk menjalani rawatan atau pembedahan segera tetapi berdepan masalah kewangan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, sebanyak RM2.1 juta diagihkan LZS bagi meringankan beban pesakit kurang berkemampuan membiayai kos rawatan di hospital.
Iklan
Iklan
"Alhamdulillah, inisiatif ini sangat bertepatan dengan matlamat Selangor sebagai negeri penyayang,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Selasa.
Sebagai rekod, LZS memulakan Tabung Kebajikan Pesakit Hospital sejak 2008 bertujuan meringankan bebanan pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan kos pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital.
Hospital terbabit adalah Hospital Shah Alam, Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang; Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang dan Hospital Serdang.
Turut terlibat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia diikuti Institut Jantung Negara, Hospital Kajang, Hospital Putrajaya, Hospital Rehabilitasi, Cheras; Hospital Kuala Kubu Bharu dan Pusat Perubatan UiTM.