KUALA TERENGGANU - Pertubuhan haram Ayahanda Harimau Kumbang (AHK) yang digempur pasukan polis bermula Khamis lalu dikesan menjadi orang tengah untuk mengutip hutang ah long dan aktiviti menarik kereta.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, dua kegiatan tersebut dipercayai turut melibatkan elemen keganasan dan gengsterisme iaitu menggunakan kekerasan serta ugutan jenayah terhadap mangsa.
Menurutnya, ia susulan penahanan 21 individu termasuk dua pegawai polis berpangkat inspektor dan 12 anggota polis pangkat rendah berusia 20 hingga 49 tahun dalam Op Selendang di sekitar Dungun serta Kuala Terengganu bermula Khamis hingga Sabtu lalu.
"Namun tidak semua anggota polis yang ditahan terlibat secara langsung dengan perlakuan jenayah ini tapi mereka menjadi ahli pertubuhan haram, ia merupakan satu kesalahan dalam perkhidmatan polis.
"Pertubuhan ini merupakan serpihan dari satu kumpulan lain dan anggota polis dipercayai mula terlibat di dalamnya sejak tahun 2021," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini pada Selasa.
Katanya, penyertaan ahli ke dalam kumpulan diketuai seorang peniaga berusia 39 tahun itu turut melibatkan baiah berikutan rampasan peralatan bagi tujuan ritual tersebut seperti selendang, kain kafan dan naskhah Al-Quran.
Jelas beliau, kumpulan AHK yang mempunyai ahli sekitar 200 hingga 300 orang di sekitar Dungun dipercayai memberi perlindungan kepada ahli bagi mengelak kenderaan mereka ditarik atau dikenakan tindakan sekiranya melakukan kesalahan.
"10 anggota polis yang terlibat telah ditahan kerja bermula semalam (Isnin), dua pegawai menunggu tindakan lanjut dari Bukit Aman manakala dua anggota lagi termasuk tujuh individu akan masih ditahan reman sehingga esok.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Bukit Aman menahan 12 anggota dan dua pegawainya untuk siasatan dipercayai terlibat dengan aktiviti pertubuhan haram di sini pada Jumaat.
Operasi Op Selendang yang dijalankan itu turut menahan tujuh orang awam.
Difahamkan, pertubuhan kumpulan Ayahanda Harimau Kumbang (AHK) itu dipercayai aktif di kalangan anggota terbabit sejak beberapa tahun lalu.