IPOH - Sebanyak 27 anak syarikat kerajaan negeri Perak ditutup sehingga kini kerana gagal memberi sumbangan kepada negeri malah membebankan syarikat induk.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani iMohamad berkata, kesemua anak syarikat yang ditutup itu merupakan milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).
Jelasnya, anak-anak syarikat yang ditutup itu ditubuhkan sebelum beliau dilantik sebagai menteri besar lagi.
"Kerajaan negeri telah meletakkan sasaran unjuran untuk kesemua GLC ini mencapai sumbangan terkumpul keseluruhan kepada kerajaan negeri sebanyak RM100 juta," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Pelancaran Projek Piccadilly@Greentown di sini pada Selasa.
Turut berangkat menyempurnakan perasmian tersebut, Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.
Saarani berkata, sumbangan GLC kepada kerajaan negeri itu diumumkan sebelum ini ketika pembentangan Bajet Negeri 2023 baru-baru ini yang mana sasaran dana tersebut diunjur dicapai pada tahun 2030.
Katanya, PKNP, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) merupakan GLC yang terlibat memberi sumbangan dana tersebut kepada kerajaan negeri.
Jelasnya, sehubungan itu, semua GLC terlibat perlu membuat perancangan yang teliti bagi setiap projek dengan mengambil kira keuntungan bakal diperoleh.
Sementara itu, mengenai projek rumah terbengkalai di Perak khususnya di Bandar raya Ipoh, Saarani berharap Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dapat membantu menyelesaikan isu terbabit.
"Saya percaya Menteri KPKT, Nga Kor Ming ada perancangan tersendiri dan dalam waktu yang sama saya dah bagi tahu kepada Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching untuk berkolaborasi dengan kementerian pagi mencari balik peruntukan yang kita dah pernah dapat dahulu projek untuk meroboh dan membina semula beberapa flat di dalam kawasan ini.
"Kita dapatkan semula peruntukan itu untuk kita membina semula kerana ini merupakan tanggungjawab sosial kerajaan negeri dan pusat," katanya lagi.