Lapor jika ejen kenakan caj lebih RM15,000 untuk amah

Iklan
Sigit (tengah) bergambar bersama ahli Kelab Media Johor pada majlis Silaturahim Gathering Media Johor bersama Konsulat Jeneral Rupblik Indonesia di Konsulat Jeneral Republik Indonesia Johor Bahru pada Selasa. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru mengingatkan rakyat Malaysia yang dikenakan bayaran melebihi RM15,000 oleh ejen bagi mendapatkan pembantu rumah dari negara itu supaya membuat laporan kepada pihaknya.

Konsul Jenderal KJRI Johor Bahru, Sigit S. Widiyanto berkata, ia susulan pihaknya masih menerima aduan bahawa terdapat ejen yang mengenakan bayaran melebihi had RM15,000 berdasarkan memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) yang dimeterai kedua-dua negara, tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Justeru, jika masih ada ejen yang mengenakan lebih RM15,000, sila lapor kepada KJRI untuk pihak kita cegah dari ia terus berlaku," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra KJRI Johor Bahru bersama Kelab Media Johor, di ibu pejabatnya, di sini pada Selasa.

Sigit berkata, MoU yang ditandatangani pada April tahun lalu itu bertujuan untuk memberikan perlindungan kepada kedua-dua pihak iaitu pekerja asing dan majikan.

Iklan

"Sejak MoU ini termeterai, dianggarkan sekitar 1,000 permohonan bagi mendapatkan pekerja domestik warganegara Indonesia telah dibuat setakat ini dan jumlah tersebut dijangka terus meningkat berdasarkan permintaan semasa.

Turut hadir Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak serta kira-kira 30 orang pengamal media serta pegawai-pegawai KJRI.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Sigit menyeru warga Indonesia yang berada dalam negara ini tanpa memiliki permit sah agar memanfaatkan program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 yang akan tamat akhir tahun ini.

"Kita akui, mungkin masih ramai majikan di negara ini yang menawarkan pekerjaan kepada warga Indonesia secara tidak sah dan ramai juga rakyat Indonesia yang masuk ke Malaysia menggunakan visa pelancong tetapi tidak pulang selepas tempoh 30 hari tamat.

"Jadi dengan adanya program RTK 2.0 yang dilaksana kerajaan Malaysia, kita menyeru pihak majikan dan juga rakyat Indonesia tanpa permit kerja sah untuk membuat permohonan terus bagi mendapatkan dokumen diperlukan,” katanya.

Awal Januari lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, kerajaan bersetuju melanjutkan semula Program RTK 2.0, yang mana semua pendatang asing yang berada di negara ini diberikan pilihan untuk pulang atau bekerja dengan tampil berdaftar dengan caj bayaran tertentu.

Sehingga 31 Disember tahun lalu, seramai 418,649 orang pendatang asing berdaftar bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan 295,425 orang pendatang asing bagi Program Rekalibrasi Pulang. - Bernama