Beberapa lebuh raya ke ibu negara dijangka sesak petang ini

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Beberapa laluan lebuh raya menuju ibu negara dijangka sesak bermula petang Selasa sehingga tengah malam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, antara lokasi dijangka sesak adalah Plaza Tol Gombak dari arah Pantai Timur dan Plaza Tol Sungai Besi dari arah selatan.

Iklan
Iklan

"Kesesakan juga dijangka di Lebuhraya Karak-Bentong, membabitkan laluan dari arah Plaza Tol Bentong menghala Gombak.

"Ia disebabkan pertambahan kenderaan dari arah Kelantan menuju Bentong serta dari arah Lebuhraya Pantai Timur (LPT), malah kesesakan turut bakal berlaku di laluan mendaki," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Mat Kasim berkata, kawasan lain adalah di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) membabitkan laluan Slim River menghala ke ibu negara dan Changkat Jering ke Ipoh disebabkan pertambahan kenderaan dan juga laluan mendaki.

"Kita juga menjangkakan kesesakan di Lebuhraya ELITE, membabitkan laluan Shah Alam-Sepang-Nilai akibat pertambahan kenderaan," ujarnya.

Iklan

Beliau berkata, JSPT menjangkakan sebanyak dua juta kenderaan menggunakan Lebuhraya PLUS, manakala sebanyak 150,000 kenderaan menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 200,000 kenderaan menggunakan laluan Karak-Kuala Lumpur pada Selasa.

"Setakat ini berdasarkan rekod Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sebanyak 1,181,805 kenderaan menggunakan Lebuhraya PLUS sehingga jam 12 tengah hari tadi, manakala 115,158 kenderaan menggunakan Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur," katanya.

Mat Kasim berkata, orang ramai dinasihatkan memandu lebih berhati-hati dalam keadaan jalan yang licin akibat hujan lebat.

"Pastikan anda tidak menyalakan lampu kecemasan sekiranya hujan lebat dan tidak menyalahgunakan lorong kecemasan kerana ia akan menyukarkan pasukan penyelamat melaksanakan tugas-tugas menyelamat jika diperlukan," katanya.