Isteri pertama, madu tinggal serumah jaga suami sakit

Iklan
Maarof (tengah) bersama isteri pertama, Noraini (kanan) dan Effa Rizam.

KUANTAN - Pengorbanan dua isteri yang sanggup menjaga suami terlantar akibat kencing manis tahap empat sejak dua tahun lalu tiada galang gantinya.

Noraini Ishak dan madunya, Effa Rizam Abd Ghaffar masing-masing berusia 42 tahun membuat keputusan untuk tinggal sebumbung demi memastikan suami mereka Maarof Noordin, 58, diurus dan dijaga dengan baik.

Iklan
Iklan

Maarof yang sebelum ini bekerja sebagai tukang rumah dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), tidak mempunyai kudrat selepas kaki kirinya di potong, selain kudis sebesar tapak tangan pada bahagian belakang.

Effa Rizam berkata, demi meneruskan kelangsungan hidup sekeluarga memaksa dirinya keluar mencari rezeki manakala madunya, Noraini ditugaskan untuk menguruskan suami sepenuhnya.

Iklan

Katanya, perbincangan itu dibuat selepas Maarof hilang keupayaan untuk bekerja.

Dia yang kini bekerja sebagai tukang kebun di sebuah kilang di Gebeng turut bekerja sambilan sebagai anggota Rela untuk menambahkan sumber pendapatan.

Iklan

"Ini pengorbanan kecil saya sebagai isteri. Isteri pertama tolong uruskan suami ketika saya keluar (bekerja) dan apabila saya balik, saya ambil alih tugas (menjaga suami).

"Walaupun kami hidup sederhana, tapi inilah cara kami berdamai dan tetap bahagia dengan cara kami," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cherating Lama pada Selasa.

Effa Rizam mengakui sumber pendapatan diperoleh ketika ini tidak mencukupi dan berterima kasih kepada pihak badan bukan kerajaan (NGO) Amal Team yang tampil menghulurkan bantuan.

"Kos untuk ulang-alik ke hospital dan klinik termasuk peralatan bagi merawat suami mencecah RM600 hingga RM700 sebulan.

Effa Rizam membantu membalut kudis sebesar tapak tangan pada bahagian belakang suaminya.

"Gaji saya RM1,500, kena bayar sewa rumah (RM400 sebulan), jadi susah jugaklah kehidupan kami," ujarnya yang memaklumkan tidak menerima bantuan lain daripada mana-mana pihak setakat ini.

Bagi, Maarof pengorbanan kedua isterinya, Effa Rizam dan Noraini menjaganya sejak disahkan menghidap penyakit kencing manis sangat dihargainya.

Noraini adalah isteri pertama dikahwini Maarof pada tahun 2007, manakala Effa Rizam pula genap lima tahun menjadi isterinya bulan Mei ini.

Ketika menceritakan kembali detik disahkan penyakit itu, Maarof berkata, dia dikesan menghidap penyakit kencing manis pada tahun 2021.

"Pada awalnya bahagian kaki sebelah kiri membengkak selepas digigit semut tapu kembali pulih tidak lama kemudian.

"Selepas itu, bahagian (kaki) sama digigit nyamuk dan pemeriksaan lanjut dijalankan mendapati saya menghidap (penyakit) kencing manis peringkat empat.

"Kemuncaknya pada Oktober tahun lalu apabila doktor menasihatkan saya memotong kaki bagi mengelak masalah kencing manis merebak ke bahagian lain," katanya yang tidak mempunyai cahaya mata.

Dia mengakui berasa hiba apabila mengenangkan nasib dirinya.

"Isteri pertama pula membantu menguruskan saya di rumah, bersyukur sangat kerana kedua mereka memahami keadaan (kesihatan) saya ketika ini," katanya lagi.

Dalam pada itu, penyelaras Amal Team Kuantan, Jamilah Salleh memaklumkan, nasib menimpa keluarga Maarof sudah dirujuk kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) untuk tindakan susulan.

Jamilah (lima dari kanan) menyampaikan kerusi roda, katil khas dan beberapa keperluan lain kepada Maarof ketika mengadakan ziarah di Kampung Cherating Lama pada Selasa.

"Buat masa ini, Amal Team sudah memberikan bantuan awal setakat yang kita mampu, macam pek makanan, katil khas dan kerusi roda kepada keluarga Maarof.

"Kita sedang berurusan dengan Muip untuk membantu menyelesaikan beberapa masalah seperti tunggakan sewa rumah, bil elektrik dan air yang sedang dihadapi keluarga ini," jelas beliau.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga Maarof boleh menghubungi talian 016-800 6507 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Bagi yang ingin menyalurkan sumbangan pula boleh berbuat demikian melalui pindahan wang ke akaun Bank Simpanan Nasional 1111141000 296605 atas nama Maarof Noordin.