SEGAMAT - Tiga beradik berdepan detik cemas selepas kereta yang dinaiki terbabas sebelum masuk dan tenggelam di kawasan banjir di Taman Impian, Labis, dekat sini pada Selasa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Penguasa Bomba Kanan II Inggai Anak Bakau berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pada jam 1.51 petang.
"Lima anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan apabila sampai di lokasi, kita mendapati terdapat tiga lelaki berusia antara 13 hingga 23 tahun berada atas bumbung kereta.
"Pihak bomba menyelamatkan ketiga-tiga lelaki berkenaan yang merupakan adik-beradik sebelum menghantar mereka ke Hospital Segamat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, mangsa memaklumkan pihak bomba bahawa kereta mereka hilang kawalan dan tergelincir masuk dalam kawasan air banjir.
Katanya, masing-masing menyelamatkan diri dengan naik ke atas bumbung kereta sebelum meminta bantuan.
Tambah Unggai, operasi berkenaan tamat pada jam 2.24 petang.