JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir dari tiga daerah di negeri terus meningkat apabila 1,703 orang melibatkan 469 keluarga dipindahkan ke 16 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam Selasa.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam satu kenyataan, jumlah mangsa banjir berkenaan meningkat berbanding 1,093 orang daripada 298 keluarga pada jam 4 petang.
"Di Kluang jumlah terkini mangsa banjir berjumlah 300 orang daripada 84 keluarga. Pertambahan mangsa banjir di Kluang adalah dari Kampung Bentong, Kampung GSA Chamek, Kampung Tengah Dalam dan Kampung Muhibbah, Paloh yang baru dipindahkan jam 2 hingga 4.30 petang tadi.
"Mereka dipindahkan ke PPS di Balai Raya Kampung Bentong, Balai Raya Kampung GSA Chamek, Sekolah Agama Sri Tengah dan Balai Raya Kampung Muhibbah. Mangsa banjir Kluang yang selebihnya adalah dari kawasan Perumahan SPKR Yap Tau Sah dan Kampung Palembang.
"Mereka ditempatkan di PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJCK) Ping Ming dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana sejak jam 11 pagi tadi," menurut kenyataan tersebut pada Selasa.
Pertambahan mangsa banjir di daerah itu melibatkan Kampung Tenang, Kampung Lembah Bakti dan Kampung Usaha Jaya, mereka ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tenang, SJKC Ai Chun dan Balai Raya Kampung Usaha Jaya.
Selebihnya jelas JBPD, iaitu dari Kampung Pekan Air Nanas, Kampung Sungai Gatom, Kampung Paya Merah, Kampung Segamat Kecil dan Kampung Seberang Batu Badak dipindahkan ke PPS di Dewan Serbaguna Pekan Air Nanas, Dewan Kampung Sungai Gatom, Dewan Serbaguna Kampung Segamat Kecil Balai Raya Kampung Seberang Batu Badak.
Sementara di Kota Tinggi, jumlah terkini mangsa banjir berjumlah 174 orang daripada 40 keluarga dari Kampung Baru Sungai Mas dan Taman Desaru Utama yang dipindahkan ke Dewan Kampung Baru Sungai Mas dan Dewan Muafakat Taman Desaru Utama.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Mersing menutup Jalan Jemaluang-Batu Pahat kepada semua jenis kenderaan selepas laluan berkenaan ditenggelami banjir setinggi 0.75 meter.
JKR turut menutup laluan di Kilometer 150 sehingga 150.30 Jalan Senai-Seremban iaitu melibatkan laluan dari persimpangan Maokil hingga pekan Labis kepada semua kenderaan berikutan kenaikan air banjir secara mendadak di jalan tersebut.