[VIDEO] Tohmahan, persepsi negatif terhadap poligami perlu diubah

Iklan
Haryani ketika program Wacana Sinar ke-380 bertajuk ‘Poligami: 2, 3 dan 4, bukan perampas’ di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Selasa.

SHAH ALAM - Tiada mana-mana pihak yang wajar ditunding jari atau dipersalahkan dalam isu membabitkan poligami dalam rumah tangga.

Naib Presiden Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia, Haryani Ithnen berkata, apa yang penting adalah tohmahan dan persepsi negatif masyarakat terhadap poligami sejak zaman dahulu lagi itu perlu diberikan perhatian dan diperbetulkan.

Iklan
Iklan

"Masyarakat itu mestilah daripada datuk dan nenek atau orang yang lebih berusia.

"Kalau kita wanita ini nak berkahwin, pertama sekali mereka akan cakap ‘nak kahwin kena jaga suami, jangan sampai ada perempuan lain ambil’, itu antara yang diajar oleh mereka.

Iklan

"Kita nak salahkan nenek, mak kita atas hal ini? Pastinya tidak. Apa yang kita kena buat adalah kita kena memandang ia dari sudut yang lebih besar, jangan menyalahkan (sesiapa) kerana (ada) golongan seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Wacana Sinar ke-380 bertajuk ‘Poligami: 2, 3 dan 4, bukan perampas’ yang diadakan di Kompleks Karangkraf di sini pada Selasa.

Iklan

Turut hadir Peguam Syarie, Ahmad Jailani Abdul Ghani dan Perunding Psikologi Keluarga, Suzana Ghazali manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut Haryani berkata, objektif Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia adalah untuk membina komuniti, mendidik dan membentuk kefahaman masyarakat mengenai kehidupan berpoligami.

"Jadi kalau ditanya peranan (NGO) kami dalam isu ini, kita betulkan peranan mereka. Sebagai seorang isteri, kena faham bahawa kakak madu datang lebih awal daripada isteri kedua, jadi santuni dengan sebaiknya.

"Tidak bolehlah suruh suami menceraikan kakak madu dan sebagainya. Fahami mereka itu ada tempat khas di hati suami, kita pun ada tempat khas di situ.

"Jadi apabila kita perbetulkan (perkara) ini dan mendidik dengan kefahaman yang betul berdasarkan al-Quran dan Sunnah, maka cara fikiran isteri pertama, kedua, ketiga dan keempat ini, insya-ALLAH dapat diperbetulkan dengan baik,” ujarnya.