[VIDEO] Ada kes hakim benar poligami meskipun pendapatan suami RM1,000

Iklan
Ahmad Jailani ketika dalam program Wacana Sinar ke-380 bertajuk ‘Poligami: 2, 3 dan 4, bukan perampas’ yang diadakan di Kompleks Karangkraf di sini pada Selasa.

SHAH ALAM - Banyak kes yang mana hakim membenarkan suami untuk berpoligami meskipun penjanaan pendapatannya hanya RM1,000 lebih sebulan sahaja.

Peguam Syarie, Ahmad Jailani Abdul Ghani berkata, ia berikutan hakim akan meneliti dan mengambil kira semua aspek kewangan lain selain pendapatan suami termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), harta pusaka atau simpanan lain.

Iklan
Iklan

"Jadi walaupun kita mengatakan bahawa dengan jumlah pendapatan RM1,000 lebih sebulan pada hari ini dianggap miskin ataupun fakir di sesetengah negeri, tetapi pengalaman saya menunjukkan bahawa banyak kes yang hakim benarkan mereka berpoligami.

"Apa yang penting adalah jangan kita anggap kalau suami tidak berpendapatan, miskin atau tidak mempunyai pendapatan yang cukup, hakim tidak benarkan.

Iklan

"Hakim akan mengambil kira semua fakta-fakta yang ada, maka itu akan dibuat kesimpulan oleh hakim sama ada hendak membenarkan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam program Wacana Sinar ke-380 bertajuk ‘Poligami: 2, 3 dan 4, bukan perampas’ yang diadakan di Kompleks Karangkraf di sini pada Selasa.

Iklan

Turut hadir adalah Naib Presiden Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia, Haryani Ithnen dan Perunding Psikologi Keluarga, Suzana Ghazali manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, ditanya mengenai keperluan untuk mendapatkan izin daripada isteri pertama sebelum berkahwin lain, Ahmad Jailani berkata, tidak perlu untuk mendapatkan kebenaran tersebut.

"Cuma jika isteri pertama mengizinkan, itu akan memudahkan lagi hakim untuk membuat keputusan.

"Pengalaman saya dan sahabat-sahabat peguam saya yang lain pun, dalam amalan kita, hakim apabila melihat tidak ada bantahan daripada isteri pertama maka kebiasaannya hakim akan benarkan kecuali ada isu-isu yang terlalu serius berlaku.

"Contohnya apabila didapati suami itu terlalu miskin dan tidak ada jaminan kewangan sehingga boleh memberi kezaliman kepada isteri kedua dan ketiga, maka itu akan dipertimbangkan,” jelasnya.