GUA MUSANG - Pilu hati seorang ibu apabila perjalanan ke kota suci Makkah diuji dengan pemergian anak yang terlibat dalam kemalangan.
Petang semalam, Mohamad Farish Aidil Mohd Zamri, 15, terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia di Hospital Kuala Krai (HKK), pada jam 4.45 pagi tadi.
Menurut Aisyah Shariff, 36, dari Kampung Tanah Puteh, di sini, kakaknya Mazila Shariff, 39, dalam perjalanan untuk mengerjakan umrah ketika insiden berkenaan.
Katanya, kemalangan berlaku pada jam 2.40 petang dan anak saudaranya itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan di hantar ke HKK untuk rawatan susulan.
"Kami menghubungi kakak memaklumkan mengenai kejadian ini dan dia menerima ketentuan dengan hati yang terbuka biarpun perit.
"Arwah tidak ikut serta menghantar ibunya untuk berangkat ke Mekah dan pertemuan terakhir mereka di rumah. Tiada sebarang tanda-tanda pelik dan arwah ceria seperti biasa.
"Semalam, arwah bersama kakak kedua saya dan mereka makan nasi bersama. Dia keluar selepas itu difahamkan untuk membaiki sedikit kerosakan pada motosikal," katanya.
Tambah Aisyah, kakaknya kini berada di Jeddah dan dijangka pulang dua minggu lagi selepas ibadah umrah selesai.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kor, Nilam Puri pada jam 12 tengahari tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kemalangan terbabit berlaku ketika mangsa menunggang motosikal jenis Comel 110, dari Kampung Kerinting menuju ke Taman Tropika, di sini.
Katanya, siasatan awal mendapati, motosikal ditunggang Farish dipercayai hilang kawalan sebelum dilanggar pacuan empat roda dari arah bertentangan.
"Mangsa dikejarkan ke Hospital Gua Musang sebelum dirujuk ke HKK kerana kecederaan parah di kepala.
"Hasil siasatan mendapati mangsa tidak mempunyai lesen memandu dan tidak memakai topi keledar ketika kejadian.
"Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.