Malaysian Tigers kembali bersemangat

Iklan
Skuad Malaysian Tigers tekad melakar kemenangan ke atas Afrika Selatan di Rourkela, India pada Khamis.

SKUAD hoki negara mahu bangkit daripada kekecewaan apabila berdepan Afrika Selatan dalam aksi penentuan tempat kesembilan hingga 16 Piala Dunia 2023 di Stadium Birsa Munda, Rourkela, India pada Khamis.

Pengurus Malaysian Tigers, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, sasaran menduduki tempat kesembilan pada edisi kali ini adalah realistik berdasarkan prestasi terbaik yang ditunjukkan barisan pemain negara ketika ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, skuad kendalian Arul Selvaraj itu akan berusaha memastikan tempat kesembilan menjadi milik mereka selepas terlepas tiket ke suku akhir.

"Semua pasukan mempunyai matlamat sama untuk meraih kemenangan. Biarpun dijangka berdepan tugas sukar, namun pasukan negara tetap memburu kemenangan.

Iklan

"Sasaran pasukan negara adalah untuk menamatkan saingan di kedudukan terbaik (kesembilan). Dengan prestasi yang telah ditunjukkan setakat ini, saya melihat harapan untuk capai sasaran itu adalah cerah.

"Tetapi ia bukan mudah kerana ini Piala Dunia, semua pasukan akan memberikan segalanya untuk menang setiap perlawanan. Walaupun sukar tetapi tidak mustahil,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Iklan

Justeru, Mirnawan menuntut skuad Malaysian Tigers mempamerkan komitmen dan disiplin tinggi serta berjuang sehingga wisel penamat untuk meraih kemenangan.

Menurutnya, suasana di kem negara juga positif dan para pemain sudah melupakan kekecewaan tewas kepada Sepanyol dalam aksi crossover di Stadium Kalinga, Bhubaneswar Ahad lalu.

"Kemahuan, disiplin, komitmen, kepercayaan, kerja keras dan berjuang sehingga perlawanan tamat. Menang kalah adat permainan, ada menang ada kalah.

"Keadaan di kem pasukan negara begitu positif dan ceria. Ini satu perkembangan yang sihat kerana pemain tahu matlamat kami di sini belum berakhir,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mirnawan enggan mengambil mudah tentangan sengit yang bakal diberikan Afrika Selatan biarpun pasukan lawan tewas dalam semua aksi Kumpulan A.

"Kami juga tidak boleh menjadikan keputusan perlawanan sebelum ini dengan jumlah gol yang besar (kemenangan) sebagai kayu ukur kemampuan pasukan.

"Piala Dunia adalah satu kejohanan yang cukup berbeza dan sudah tentu, setiap pasukan mahu menamatkan saingan dengan keputusan terbaik,” jelasnya.