HUJUNG minggu lalu, PLUS menganggarkan lebih 4.5 juta kenderaan berada di atas lebuh raya sempena cuti Tahun Baharu Cina.
Ini bermakna lebih sembilan juta manusia bergerak keluar dari rumah masing-masing menuju ke destinasi pilihan sama ada balik ke kampung ataupun melancong.
Setiap kali lebuh raya mahupun jalan raya sesak dengan kenderaan, pastinya kita tidak boleh lari daripada sikap negatif segelintir pemandu.
Sikap paling normal adalah mereka yang sewenang-wenangnya menggunakan lorong kecemasan ketika keadaan sesak, semata-mata untuk cepat sampai ke tempat yang dituju.
Tindakan semberono mereka bukan sahaja menyebabkan kesesakan lebih teruk, malah membahayakan nyawa orang lain.
Dalam keadaan pemandu lain boleh bersabar untuk ke destinasi masing-masing, kumpulan pemandu berfikiran sempit ini tak menghiraukan hak pengguna jalan raya yang lain.
Apa yang penting, mereka dapat tiba ke lokasi dengan cepat biarpun melanggar peraturan.
Itu belum diambil kira kesan kepada pihak yang sepatutnya menggunakan lorong kecemasan itu seperti ambulans, bomba, polis dan petugas lebuh raya sekiranya berlaku kecemasan.
Apa yang Merak Jalanan perhatikan, sikap mementingkan diri ini telah menyusahkan orang lain dan walaupun selalu ada tindakan daripada pihak berkuasa, namun masih ada yang degil.
Begitu juga dengan sikap pemandu memandu secara melulu sehingga memudaratkan pemandu lain.
Memecut melebihi had laju, bertukar lorong sesuka hati tanpa memberikan lampu isyarat dan tak kurang juga ada yang ‘berlumba’.
Sepatutnya semua orang bertimbang rasa dalam situasi kesesakan jalan raya akibat cuti panjang perayaan.
Buanglah kelakuan mahupun pemikiran kelas ketiga kerana negara kita sudah cukup maju dan tak boleh lagi menerima sikap menjengkelkan seumpama itu.
Nyawa kita tiada nilainya sama juga dengan nyawa orang lain.