Perlombongan dipercayai punca Sungai Tepesuk tercemar

Iklan
Nazri (depan) meninjau air Sungai Tepesuk selepas menerima aduan daripada penduduk pada Selasa

ROMPIN - Aktiviti perlombongan bijih besi di Bukit Pesagi di sini dipercayai menjadi punca pencemaran air di Sungai Tepesuk sejak Selasa lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri, (ADUN) Bukit Ibam, Nazri Ahmad mendakwa pembuangan sisa perlombongan yang terdiri daripada keladak lumpur dan bahan kimia mengalir terus ke sungai sekali gus mengakibatkan hidupan di sungai ini terancam.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, pencemaran sungai terbabit memberi kesan besar kepada aktiviti harian penduduk yang menjadikan sungai terbabit sebagai sumber rezeki mereka.

"Saya menerima aduan daripada rakyat memaklumkan air Sungai Tepesuk dipenuhi keladak lumpur sehingga memberi kesan penduduk di kawasan itu.

Iklan

"Malah air dari sungai ini (Tepesuk) turun (mengalir) ke beberapa batang sungai termasuk di Kampung Aur," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

"Saya mengharapkan tindakan pantas, tegas dan berkesan dapat diambil oleh pihak terbabit," jelas beliau.

Iklan

Sebelum itu, seorang pengguna Facebook bernama Boy Rtg memuat naik satu hantaran dan beberapa keping gambar berhubung pencemaran sungai terbabit.

Keadaan air Sungai Tepesuk yang didapati berkelodak dengan lumpur dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan bijih besi.

Nazri seterusnya bersama beberapa penduduk meninjau keadaan Sungai Tepesuk dan mendapai air sungai berkelodak dengan lumpur.

Beliau juga telah memuat naik video tinjauan yang berdurasi 1.52 saat itu di Facebook rasmi miliknya bagi memberi gambaran jelas pencemaran yang dikatakan berlaku.

Video itu mendapat 128 perkongsian dan lebih 30 pengguna facebook membuat komen dalam hantaran terbabit.

Rata- rata pengguna Facebook menerusi ruangan komen meminta siasatan dilakukan segera oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Malah ada kalangan mereka yang kesal dengan pencemaran itu sehingga menyebabkan mata pencarian penduduk kampung terjejas.

Pengguna Facebook dikenali Bong Kis meninggalkan satu komen berbunyi"pencemaran ini bukan baharu berlaku, 30 tahun sudah, terutamanya Sungai Jeram yang teruk sekali pencemaran, tapi sampai sekarang tiada pihak berkuasa ambil tindakan tegas,".

Shafaa Marwa pula memaklumkan"dulu masa berusia empat tahun, kami selalu ke sini mandi manda, basuh pakaian, banyak ikan dan (siput) gondang, siput sedut kat sini dulu. Tapi sejak ada perlombongan air dah tidak cantik, dah jadi masin, hidupan sungai pun tak nak duduk dah,".

Sementara itu, Sayat Shuib mendedahkan"mata pencarian orang kampung yang bergantung dari hasil tangkapan ikan sungai terancam, perlombongan harus dihentikan," komennya.

Rahim Mat Zain membuat satu komen dengan meminta" kerajaan lihat sendiri dan apa tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa,".