KUALA LUMPUR - Polis telah merekod keterangan 11 individu untuk siasatan video tular yang memaparkan rakaman kamera tersembunyi di bilik persalinan sebuah pusat membeli-belah, di sini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, terdapat empat video diterima mengenai kes terbabit.
"Kita juga ada terima satu laporan dibuat mangsa seorang wanita pada semalam (Selasa)," katanya kepada pemberita semasa Hari Bersama Media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Rabu.
Beliau berkata, polis juga sedang menunggu laporan hasil analisa kesemua video itu daripada pihak Cyber Security.
Katanya, siasatan masih dijalankan termasuklah individu yang bertanggungjawab memasang kamera di bilik persalinan selain mengesan pemilik akaun media sosial terbabit.
"Kita gesa semua mangsa dalam rakaman terbabit untuk tampil bantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Pada 11 Januari, Sinar Harian melaporkan polis menerima laporan yang dibuat pengurus kawalan keselamatan sebuah premis berkaitan video tular yang memaparkan rakaman daripada kamera tersembunyi di bilik persalinan sebuah pusat membeli-belah.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Fikri Abdul Manan di talian 013-4149917, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran.