KUALA LUMPUR - Indeks jenayah bagi daerah Dang Wangi mencatatkan penurunan sebanyak 282 kes pada tahun 2022 berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, tahun 2021 mencatatkan 1,410 kes manakala tahun lalu merekodkan 1,128 kes sekali gus penurunan sebanyak 282 kes.
"Bagi kes jenayah kekerasan seperti bunuh, rogol, samun berkawan senjata api dan lain-lain mencapai penurunan 90 kes bagi tempoh terbabit.
"Di sini, penyumbang kes jenayah kekerasan adalah melibatkan kes samun berkawan tanpa senjata dan samun tanpa senjata api selain mencederakan," katanya kepada pemberita semasa Hari Bersama Media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Rabu.
Katanya, kategori jenayah harta benda ini meliputi kes curi motosikal, curi kereta serta pecah rumah.
"Penurunan ini hasil daripada perancangan yang dirangkakan dengan beberapa kaedah secara operasional, taktikal dan staretgik.
"Kita ada penugasan rondaan berkala oleh kereta peronda polis (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB) dan rondaan pencegahan jenayah dari balai. Selain itu kita juga punyai pasukan yang bertindak bagi penugasan pencegahan jenayah berstruktur mengikut data yang diperoleh berdasarkan kes jenayah yang berlaku," ujarnya.
Mengulas mengenai jumlah kertas siasatan, beliau berkata, tahun 2021 mencatatkan 2,885 kertas siasatan dibuka dan 1,518 pertuduhan manakala tahun 2021 sebanyak 2,846 kertas siasatan (2,045 pertuduhan).
"Sasaran utama tahun ini iaitu pertuduhan jenayah sebanyak 74 peratus, pertuduhan narkotik (99 peratus) serta pertuduhan komersial (85 peratus)," katanya.