PASIR MAS - Polis Kelantan membuat risikan berhubung isu pertubuhan haram yang didakwa melibatkan penyertaan pegawai dan anggota.
Ketua Polisnya, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, walaupun perkara tersebut dikesan berlaku di Terengganu namun pihaknya mengambil serius perkara terbabit.
"Setakat ini memang kita telah membuat risikan. Pada masa sama, saya telah mengarahkan jabatan-jabatan tertentu untuk melihat sama ada kita (Polis Kelantan) ada terkait dengan kegiatan seumpama itu.
"Kita sentiasa berhubung dengan Jabatan Penyiasatan Jenayah (CID) dan pihak Terengganu serta Cawangan Khas untuk tengok sama ada ia berkaitan," katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini, pada Rabu.
Majlis tersebut melibatkan antara Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir dan pemangkunya, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah.
Mohd Nasaruddin akan bertugas sebagai pengiring Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bermula pertengahan Februari ini.
Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Muhamad Zaki berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang petunjuk berkait dengan perkara tersebut dan siasatan akan terus dilakukan.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan beberapa anggota dan pegawai polis ditahan dipercayai terlibat dengan aktiviti pertubuhan haram di Dungun, Terengganu.
Operasi khas yang dijalankan pihak Bukit Aman itu turut menahan beberapa orang awam.
Difahamkan, pertubuhan itu dipercayai aktif dalam kalangan anggota terbabit sejak beberapa tahun lalu.
Caption
Muhamad Zaki (tengah) semasa Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah di IPD Pasir Mas melibatkan Mohd Nasaruddin (kiri) dan Nik Aminuddin (kanan) pada Rabu.