KLANG - Ratusan pekerja warga asing di tiga kilang produk kayu dan getah di Jalan Kapar di sini terpaksa menghuni tempat penginapan yang serba daif serta kotor malah nyawa mereka mungkin terancam jika keadaan itu berterusan.
Perkara itu terbongkar selepas Kementerian Sumber Manusia (KSM) diketuai Menterinya, V Sivakumar mengadakan Operasi Bersepadu Khas Penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] pada Rabu.
V Sivakumar berkata, ketiga-tiga premis yang diperiksa merupakan kilang dalam sektor pembuatan berasaskan produk kayu dan juga getah serta beroperasi dengan tenaga kerja tempatan seramai 44 orang dan pekerja asing seramai 526 orang.
Menurutnya, pekerja asing terbabit terdiri daripada warga Nepal, Bangladesh dan Myanmar namun ketiga-tiga premis berkenaan tidak mempunyai perakuan penginapan dalam menyediakan kemudahan penginapan kepada pekerja.
Jelasnya, dua daripada premis kilang tidak mempunyai rekod permohonan perakuan penginapan kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) manakala satu lagi telah membuat permohonan namun dibatalkan kerana tidak mengikut standard digariskan JTKSM serta tidak memperoleh kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Tempat penginapan yang sesuai perlu disediakan untuk mereka, jangan buat (penginapan) seperti kandang lembu atau kandang kerbau kerana itu membahayakan pekerja-pekerja asing seterusnya akan menjadi satu isu yang besar jika sesuatu musibah berlaku," katanya ketika ditemui pemberita pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati majikan terbabit melakukan beberapa kesalahan di bawah akta yang dikuatkuasakan JTKSM antaranya Seksyen 24D Akta 446 iaitu tiada Perakuan Penginapan dan juga kesalahan di bawah Peraturan 3 dan 4 akta sama.
Menurut beliau, ketiga-tiga majikan juga didapati melakukan kesalahan di bawah akta yang dikuatkuasakan oleh JKKP dengan 10 kesalahan antaranya jentera boiler tiada sijil sah dan majikan juga didapati tidak mencarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
"KSM bersama jabatan dan agensi di bawahnya akan terus melaksanakan operasi dan penguatkuasaan selaras perundangan di bawah bidang kuasa yang diperuntukkan," katanya.
V Sivakumar menambah, penguatkuasaan berkenaan penting dan perlu bagi memastikan kepatuhan majikan adalah berterusan tidak kira dalam apa juga sektor tanpa sebarang kompromi demi memastikan kebajikan para pekerja dipelihara dan keharmonian perburuhan negara terus diperkasa.