Pengurusan kes rayuan Bung Moktar, isteri pada 22 Mac

Iklan
Bung Moktar, Zizie Izette

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan 22 Mac ini untuk pengurusan kes rayuan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.

Mahkamah Sesyen pada 2 September tahun lepas, memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Iklan
Iklan

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How, ketika dihubungi, mengesahkan tarikh pengurusan kes itu yang telah ditetapkan sementara menunggu rekod rayuan.

Pengurusan kes hari ini berlangsung di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron.

Iklan

Pada 9 Disember tahun lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid menolak permohonan pasangan itu untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen tersebut.

Mahkamah menolak permohonan itu setelah membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan atas alasan Bung Moktar dan Zizie Izette telah menggunakan kaedah yang salah untuk memfailkan permohonan semakan itu.

Iklan

Pihak pendakwaan berhujah bahawa kedua-dua mereka tidak sepatutnya memfailkan melalui notis usul sebaliknya dibuat melalui surat kepada Mahkamah Tinggi.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada seorang ejen pelaburan Public Mutual menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada seorang perunding Unit Amanah, di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. - Bernama