SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru agar kajian secara berilmu dan beradab serta menggunakan akal yang sihat dan waras dilakukan bagi mengelak kewujudan Islamofobia.
Beliau berkata, dalam masa sama perbandingan perlu dibuat melibatkan Islam dengan agama dan teori lain secara jujur melalui sumber asli masing-masing bagi mencari kebenaran tanpa bersikap fanatik.
"Sebarang perubahan daripada undang-undang fitrah (naluri) manusia, pasti menyebabkan berlakunya kepincangan yang akan membawa kemusnahan disebabkan oleh tangan manusia sendiri.
"Sedangkan perbuatan itu tidak diizinkan oleh ALLAH SWT sebagai Pencipta-Nya,” katanya menerusi hantaran 'Minda Presiden Pas' di Facebook miliknya pada Rabu.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, penyakit Islamofobia dalam kalangan masyarakat bukan Islam di Barat telah menyebabkan al-Quran dibakar, Nabi Muhammad SAW dicela, masjid dibakar dan penganut Islam dizalimi.
Ujarnya, mereka bertindak menentang Islam atas nama hak kebebasan liberal dan demokrasi, bukan mengkaji dan membacanya secara berakal dan beradab ilmuwan, tetapi menentangnya secara nafsu tidak berakal.
"Antara alasan untuk menyebarkan Islamofobia adalah disebabkan munculnya teori yang mencela Islam, dengan alasan tiada kebebasan apabila bersama Islam kerana adanya hukum wajib dan sunat, halal dan haram dalam aspek makanan, pakaian dan pergaulan.
"Selain itu, adanya undang-undang syariat yang diuruskan, wajib ada pemerintah yang mentadbir (politik) dan menguruskan keperluan hidup jasadnya (ekonomi), akal dan rohnya (pelajaran dan pendidikan) serta konsep kawalan ‘Amar Makruf Nahi Mungkar’ dengan kehebatan undang-undang yang mendidik,” jelasnya.