Enam beranak redah air paras dada ke PPS

Iklan
Keadaan rumah penduduk di Kampung Perpat yang terjejas akibat banjir yang berlaku pada Rabu. (Gambar kecil: Samsiah)

KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Enam beranak terpaksa meredah air sedalam 1.5 meter ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka di Kampung Perpat Tanjung Sedili, di sini dinaiki banjir pada malam Selasa.

Samsiah Abdul Kadir, 50, berkata, bimbang dengan keselamatan keluarga apatah lagi empat orang anaknya masih kecil, dia dan suami Yusri Ahmad Sanusi, 50, tidak menunggu lama untuk berpindah ke PPS selepas air mula naik pada jam 7 malam.

Iklan
Iklan

"Hujan lebat sejak pagi menyebabkan air parit di sekeliling rumah penuh. Pada sebelah malam pula, rumah mula dinaiki air sehingga paras dada.

"Selepas menyedari paras air semakin tinggi saya dan suami ambil keputusan untuk terus redah banjir ke PPS yang terletak 500 meter dari rumah. Kami hanya bawa beberapa pakaian dan dokumen penting seperti kad pengenalan dan surat beranak," katanya ketika ditemui di PPS Balai Raya Kampung Perpat pada Rabu.

Iklan

Samsiah berkata banjir yang berlaku menjejaskan perniagaan ikan kering yang diusahakan sebagai mata pencarian tambahan membantu suami yang bekerja sebagai tukang cat.

"Baju sekolah anak-anak yang berusia 18 hingga tujuh tahun, tidak sempat saya selamatkan. Anak-anak ada yang bertanya tentang baju sekolah mereka," katanya.

Iklan

Penduduk, Awang Mad Yahya Noh, 55, menyifatkan banjir kilat akibat hujan lebat dan fenomena air pasang besar, kali ini antara yang terburuk pernah dihadapi dalam tempoh tujuh tahun.

Awang meredah banjir di kawasan halaman rumahnya di Kampung Perpat Sedili.

Katanya, air juga melimpah begitu cepat dan memasuki rumah sehingga mencecah paras tingkap rumahnya.

"Saya dan isteri dan empat orang anak segera berkemas dan berpindah ke PPS berdekatan pada jam 8.30 malam.

"Kawasan halaman rumah yang dinaiki air saya manfaatkan dengan memasang jaring ikan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora keadaan banjir di daerah ini dijangka beransur pulih sekiranya tiada hujan lebat pada sebelah malam ini.

Hussin (kiri) bertanya khabar penduduk yang ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Perpat Sedili pada Rabu.

Bagaimanapun, sekiranya hujan lebat berterusan dan bertembung fenomena air pasang besar ketika ini maka banjir dikhuatiri menjadi lebih buruk.

"Seramai 250 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah diarahkan membuat pemantauan dan sentiasa bersiap siaga membantu memindah serta menyelamatkan mangsa banjir bersama agensi lain.

"Saya menasihatkan penduduk di kawasan terjejas banjir di daerah ini mematuhi arahan pihak berkuasa berpindah ke PPS jika diarahkan. Anggota polis sentiasa komited melakukan rondaan di kawasan dinaiki air di samping kawasan rumah yang ditinggalkan oleh mangsa banjir bagi menjamin keselamatan harta benda nyawa terjaga," katanya.